17 July 2012

Hakikat Zikir (1)

Kitab :
Tanbih al-Fikr ila Haqiqah al-Zikr

Penulis
Syeikh Muhammad Adib Kalkal, Syria

Penterjemah :
Ustaz Abdul Basit bin Abdul Wahab





بسم الله الرحمن الرحيم

   Allah SWT telah menganugerahkan al-Din al-Islam yang tidak ada tolok-bandingnya kepada kita. Agama yang memimpin manusia ke jalan yang lurus serta memenuhi tuntutan ruh dan jasad manusia. Agama yang mengisi keperluan manusia dunia dan akhirat. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya :

Yang bermaksud : " Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu
( keperluan dan bekalanmu ) dari dunia dan berbuat baiklah
( kepada hamba-hamba Allah ) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu ( dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah ) ... "
( Al-Qasas : 77 )

   Di samping itu Allah SWT menuntut manusia supaya menjaga kesihatan dan berusaha untuk berubat apabila ditimpa oleh penyakit serta tidak mengambil mudah persoalan ini. Kita juga dituntut supaya sentiasa menjauhi diri daripada unsur-unsur yang merosakkan. Oleh itu, Allah SWT telah mengharamkan perkara-perkara yang keji dan mungkar. Manusia juga telah diberitahu bahawa mereka akan dipertanggungjawabkan pada hari kiamat dihadapan Allah SWT terhadap segala nikmat yang telah digunapakai termasuklah tubuh badan mereka. 

   Lantaran itulah apabila berkait dengan persoalan manusia, Allah SWT menjelaskan kepada mereka keutamaan serta kepentingan yang dominan terhadap hakikat ruh. Kita diajar supaya sentiasa memelihara kesucian ruh daripada dicemar serta dikongkong oleh unsur-unsur kebendaan serta sifat-sifat kebinatangan. Justeru itu, Allah SWT telah menyediakan satu pakej perawatan kerohanian yang lengkap bertujuan memelihara serta membebaskan ruh daripada segala bentuk penyakit. Lantas pakej perawatan ini akan menyalurkan daya serta tenaga untuk ruh agar ia mampu bangun serta bertenaga.

   Kejadian manusia itu terbina daripada dua unsur yang berbeza iaitu unsur tanah pada tubuh manusia dan unsur maknawi serta samawi iaitu ruh. Dengan segala sifat RahmatNya, Allah SWT telah mencipta serta membekalkan kepada kedua-dua unsur itu saluran-saluran yang membekalkan tenaga serta kekuatan untuk memelihara pertumbuhan serta kelangsungan kedua-duanya. Tubuh manusia disalurkan bekalan tenaga daripada unsur yang bersifat kebendaan untuk terus hidup. Apabila bekalan ini terhenti atau tersekat, tubuh akan lemah, tenaganya akan hilang lantas ia tidak akan mampu lagi melaksanakan tugas yang dipikulkan ke atasnya. Sekiranya ini berterusan, ia akan sampai ke penghujungnya iaitu maut.

   Hal yang sama juga akan berlaku terhadap ruh. Bekalan yang diperolehinya akan menyebabkan ia bertenaga. Malah ia akan terus melangkah untuk mencapai ketinggian di alam kerohanian. Ketika itu ruh akan bersinar terang, menyuluhi hakikat kesesatan nafsu syahwat serta karat-karat dosa yang lahir daripada pengaruh kebendaan. Tatkala itu, ruh akan sedar dan terselamat daripada kelalaian lantas melanjutkan langkahnya ke alam tinggi merenangi lautan kebesaran Allah SWT. Tetapi apabila bekalan tenaga ruh tersekat, ia akan lemah dan tersungkur. Ia tidak akan mampu lagi menghadapi serangan arus kebendaan dan nafsu syahwat. Akhirnya ia akan tenggelam di dalam kesesatan serta dibelenggu oleh kerakusan sifat-sifat kebinatangan. Natijahnya, lahirlah makhluk yang berwajah insan tetapi berjiwa syaitan yang direjam.




   Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya :

Yang bermaksud : " Mereka hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. "
( Al-Furqan : 44 )

FirmanNya lagi :

Yang bermaksud : " Makhluk-makhluk itu tetap akan mati, bukanlah kekal hidup dan mereka tidak mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan ( menerima balasan ). "
( Al-Nahl : 21 )

   Sesungguhnya pakej perawatan dan pemeliharaan kerohanian Islam adalah untuk menjamin agar lahir jiwa yang suci bersih agar ia mampu memancarkan cahaya kesucian serta kekuatannya. Lantas lahirlah hati yang sentiasa segar dan juga yang mampu menyelami rahsia-rahsia. Justeru, hati akan terselamat daripada perangkap lalai bahkan tumbuhlah sifat sentiasa bermuraqabah kepada Allah SWT dan berjiwa tenang. Apabila sampai ke tahap ini, manusia akan terpelihara daripada sifat bimbang dan berdukacita yang mana kedua-dua unsur ini adalah merupakan penyakit yang sangat berbahaya kepada jiwa manusia. Penawarnya tidak lain dan tidak bukan ialah zikrullah, bermuraqabah serta meyakini dengan mutlaq bahawa ilmu Allah SWT meliputi segala sesuatu di alam ini. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya :

Yang bermaksud : " Tiada tersembunyi dari pengetahuanNya barang seberat debu yang ada di langit dan di bumi dan tidak ada yang lebih kecil dari itu atau yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata."
( Saba' : 3 )


Intisari Zikir

   Apabila kita merujuk kepada kamus-kamus berbahasa Arab maka kita akan mendapati banyak pengertian terhadap kalimah zikir. Antaranya :


ذَكَرَ شَيْءٌ ذِكْرًا جَرَى عَلَى لِسَانِهِ

   Yang bermaksud : Dia menyebut sesuatu yang sentiasa terbit daripada lidahnya.


ذَكَرَ حَقَّ فُلَانٍ

    Yang bermaksud : Dia memelihara hak seseorang dan tidak akan mensia-siakannya.


ذَكَرَ الله

    Yang bermaksud : Menghadirkan Allah ke dalam hati, memuji, bertasbih serta menyangjungiNya.


ذَكَرَ النِّعْمَةَ

   Yang bermaksud : Mensyukuri nikmat.



ذَكَرَ الأَمْرَ ذِكْرًا ، وَذِكْرَى ، تِذْكَارًا

   Yang bermaksud : Mengingati kembali ke dalam ingatan setelah terlupa.




الذِّكْرُ

    Yang bermaksud : Memelihara sesuatu. Ia berlawanan dengan sifat lupa.


    Daripada keterangan tersebut dapatlah difahami dan disimpulkan bahawa pengertian zikrullah itu ialah, menyebut dengan lisan beserta menghadirkan Allah SWT ke dalam hati ketika berzikir, bertahmid, bertasbih dan membaca al-Quran. Hakikat zikrullah seperti yang demikian akan membangkitkan rasaan kerohanian di dalam hati yang kuat untuk memelihara hak-hak Allah SWT serta melaksanakan kewajipan terhadapNya untuk mencapai kemuliaan dan ketinggian di sisiNya.

    Oleh itu, orang yang berzikir akan bebas daripada sifat-sifat lalai dan lupa. Hal ini adalah kerana hati sentiasa berhubung dengan Allah SWT dengan penuh sedar. Berzikir di sini bermaksud berzikir dengan menyebut kalimahNya atau sifat-sifatNya atau hukum-hukumNya, melaksanakan perintahNya atau berhujah dengan bersandarkan kepada dalil-dalil yang kembali merujuk kepadaNya atau berdoa atau menyebut para rasul dan nabiNya. Oleh itu, setiap orang yang berucap, bertafaqquh dengan ilmu, para guru, mufti, pendakwah, melaksanakan amar ma'ruf nahi mungkar, apabila melaksanakan semua itu bertujuan mencari keredhaanNya, maka perbuatan itu termasuk dalam pengertian zikrullah.

   Zikir itu dilaksanakan dengan lisan, badan, anggota badan, secara terang atau rahsia dan apabila dilaksanakan semua itu secara serentak maka itulah penzikir yang sempurna.







   Perkataan الذِّكْرُ dalam al-Quran kadang-kadang bermaksud al-Quran. Sebagai contoh firman Allah SWT :

Yang bermaksud :  " Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya," 
( Al-Hijr : 9 )

FirmanNya lagi :

Yang bermaksud : " dan Kami pula turunkan kepadamu ( wahai Muhammad ) al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkannya."
( Al-Nahl : 44 )

FirmanNya yang lain :

Yang bermaksud : " tetapi engkau ( wahai Tuhan kami ) telah melimpahkan kemewahan kepada mereka dan kepada datuk neneknya sehingga mereka lalai dan cuaikan ajaran agamaMu dan menjadilah mereka kaum yang binasa."
( Al-Furqan : 18 )


Perkataan الذِّكْرُ juga bermaksud ilmu. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya :

Yang bermaksud : " maka bertanyalah kamu kepada ahluzikri jika kamu tidak mengetahui."
( Al-Anbiya' : 7 )


Zikir Menurut Al-Quran










bersambung....



 
© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...