12 July 2012

Saluran Yang Menghidupkan Iman (1)







بسم الله الرحمن الرحيم

   Assalamualaikum...

Selawat dan salam ke atas junjungan kita muhammad SAW serta para sahabatnya dan seluruh ahli keluarganya. Terlebih dahulu ucapan beribu kemaafan penulis titipkan buat seluruh pembaca yang budiman atas penangguhan entri yang agak berpanjangan. Keterlewatan memasukkan entri terbaru adalah disebabkan beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan. Semoga pembaca seluruhnya tidak jemu membaca segala apa yang dititipkan di dalam blog ini.




   Entri kali ini penulis ingin membawa pembaca untuk sama-sama menghadam beberapa perkara berkenaan saluran yang mampu untuk menghidupkan iman kembali. Adakah selama ini iman kita telah dibuai lena sehingga menuntut kita berusaha membangun dan menyedarkannya semula? Atau cahaya keimanan di dalam hati kita sudah semakin malap? Atau hati kita telah melencong lebih mengasihi yang lain daripada Allah? Atau bunga-bunga iman masih mekar di dalam hati-hati kita seperti mana ia segar di dalam hati para sahabat? Atau adakah keinginan jiwa kita masih membara untuk memegang janji-janji yang telah diikrarkan di hdapn Allah di alam roh dahulu?

   Segala persoaan tersebut memerlukan jawapan yang tepat dan konkrit. Jawapannya yang sebenar tidak lain dan tidak bukan ialah satu gerakan dakwah pembaharuan mestilah digerakkan untuk membangkitkan iman serta dakwah yang bersifat Rabbaniyyah. Oleh kerana itu adalah diharapkan nilai-nilai keimanan dan kerohanian yang tinggi ini akan menguasai pemikiran dan gerakan dakwah Islamiah.

   Terdapat dua aspek yang perlu diambil kira untuk menjadi saluran kepada penghidupan semula iman kita. Aspek tersebut merupakan aspek individu dan juga aspek dakwah. Mari sama-sama kita menghadam dan meniliti kedua-dua aspek tersebut dalam konteks yang mudah untuk difahami.


Aspek Individu


1- Memikirkan tentang kejadian alam yang terbentang luas, siapakah penciptanya? 

     Hal ini merupakan suatu ibadah yang akan melahirkan kesan yang sangat hebat di dalam kehidupan ini. Tetapi apabila hakikat ini tidak dihidupkan di dalam diri, akhirnya ia akan lemah. Kadangkala potensi ini terus dilupakan oleh kesibukkan hal-hal kehidupan. Oleh itu setiap individu hendaklah sentiasa bermuhasabah dalam hal ini. Hal ini sejajar dengan pandangan Hassan al-Basri katanya, "berfikir sesaat itu lebih baik daripada solat sepanjang malam."

2- Menghadiri majlis para solihin.

     Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmanNya :
     Yang bermaksud : "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah SWT semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

( al-Kahfi : 28 )

3- Sentiasa mentadabbur al-Quran.

     Sebagaimana firmanNya :
     
     Yang Bermaksud : "( setelah diterangkan yang demikian ) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran?"
 
( Muhammad : 24 )

     Apabila seseorang hamba itu berterusan membaca al-Quran dengan penuh tadabbur maka kelembutan serta rahsia yang terkandung di dalam al-Quran akan beransur-ansur meresap  masuk ke dalam hatinya. Ia sentiasa dahaga menharapkan kurniaan Allah SW itu, akhirnya hati si hamba akan dapat merasakan betapa lembutnya sentuhan rahsia-rahsia al-Quran itu. Inilah hakikat yang disebut, hati-hati yang hidup.

4- Berfikir serta merenung terhadap limpahan nikmat daripada Allah SWT yang kita kecapi.

     Usaha menghitung setiap nikmat Allah yang kita terima itu bertujuan supaya hati sentiasa menyedari kemurahan Allah SWT dengan limpahan nikmatnya kepada kita. Di samping kita sentiasa menyedari serta mengingsafi kelemahan serta kecuaian terhadap perintah Allah SWT kepada kita. Apabila hakikat itu wujud, bererti kita berjaya menghidup serta membangunkan hati kita dengan iman dengan bersyukur terhadap segala nikmat kurniaan daripada Allah SWT.

5- Bertafakur serta menkaji ketetapan peraturan Allah SWT ( sunnatullah ) terhadap seluruh makhluk yang 
    dicipta olehNya.

     Hal ini melibatkan perubahan hal ehwal seseorang hamba itu samada ketika mendapat anugerah daripada Allah SWT atau tidak, maju atau mundur, tinggi atau rendah, hina atau mulia, lemah atau kuat dan sebagainya. Mengkaji sebab dan punca segala kejadian dan peristiwa itu besar manfaatnya, hendaklah akur kepada kekuatanNya serta jangan menyalahi tuntutan dan keperluan segala sebab dan punca sesuatu kejadian.

6- Memperbanyakkan ibadat-ibadat sebagai perisai.

     Ia hendaklah dilakukan dengan berterusan, khusyuk, menghadirkan hati, dipersaksikan oleh kekuatan akal sehingga terhakis segala rintangan-rintangan yang menghadapi kesuburan serta kemanisan ibadat tersebut.

7- Menolak serta menggantikan segala kebatilan dengan al-Haq. 

     Apabila hakikat ini lahir ia membuktikan bahawa wujudnya di dalam hati seseorang itu kekuatan dokongan terhadap kebenaran. Bahkan ia sentiasa tegas melaksanakan pegangannya itu. Kemudian sekiranya ia bertembung dengan gelombang kebatilan beserta tentera-tenteranya yang gegak gempita lagi bongkak, sedang ia yakin tidak ada tempat berlindung melainkan Allah SWT, maka ia akan bergantung kepada Allah SWT. Malah thiqah dan keyakinannya kepada pertolongan Allah SWT semakin utuh serta imannya semakin mantap.

8- Hati sentiasa terikat dengan masjid dengan istiqamah menghadiri solat berjemaah.

    Sayugia diingati serta perlu diberi perhatian tentang program penglibatan kita di masjid. Antaranya :

     a. Memastikan diri hadir di masjid sebelum setiap kali azan berkumandang. Paling minima satu waktu 
         dalam sehari.

     b. Iktikaf di masjid di antara waktu maghrib dan isya', sekurang-kurangnya sekali seminggu.

     c. Iktikaf di masjid sekurang-kurangnya semalam dalam tempoh sebulan. Hal ini adalah untuk 
         memperkukuh ikatan hati terhadap masjid. Kekuatan kebergantungan hati terhadap masjid tidak dapat
         diganti melainkan dengan jalan beriktikaf dan bersolat jemaah.



Bersambung...






© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...