10 March 2012

Kisah al-Quran Terbukti Benar

Menangkis Keraguan


   KISAH-kisah di dalam al-Quran tidak sama dengan kisah legenda yang ada pada hari ini. Al-Quran adalah wahyu daripada Allah. Justeru semua kisah yang dipaparkan adalah kebenaran yang tidak dapat dipertikaikan. Penemuan-penemuan semasa dalam bidang arkeologi mengesahkan hakikat ini.
Salah satu contoh adalah kaum Thamud. Mereka memiliki kemahiran membina bangunan-bangunan di gunung-ganang dan Nabi Salih diutus kepada mereka. Dalam surah as-Syuara ayat 149, Allah berfirman: Dan kamu pahat sebahagian dari gunung-ganang untuk dijadikan rumah-rumah dengan rajin.


   Kesan peninggalan sejarah yang berkaitan dengan kaum Thamud berbentuk bangunan-bangunan yang dipahat di gunung-ganang ditemui di Lembah Rom di Jordan. Di dalam Britannica Micropaedia dijelaskan: ``Kajian-kajian terbaru dalam bidang arkeologi menemui tulisan serta gambar-gambar yang dihasilkan oleh kaum Thamud. Ia bukan sahaja terdapat di Jabal Athlab malah di seluruh kawasan Arab Tengah.''
   Bukti-bukti juga ditemui berkenaan dengan peristiwa banjir Nabi Nuh berdasarkan penemuan Leonard Woolley dan rakan-rakannya dari Muzium Britain dan Universiti Pennsylvania. Mereka melakukan kerja-kerja penyelidikan dari tahun 1922-1934 sehingga akhirnya menemui bukti-bukti jelas yang menunjukkan banjir Nabi Nuh sebenarnya berlaku di Lembah Mesopotamia di Iraq.


   Kesan kehancuran kaum Lut di Sodom juga ditemui di kawasan Laut Mati. Berhubung dengan ini, dalam surah Hud ayat 82, Allah berfirman: Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu yang di atas ke bawah (yakni Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu daripada tanah yang terbakar secara bertubi-tubi.


   Azab yang menyebabkan negeri kaum Lut diterbalikkan amat selari dengan kejadian gempa bumi dan azab berbentuk hujan batu tanah yang terbakar pula amat selari dengan kejadian letupan gunung berapi.
Semasa mengkaji kesan kehancuran kaum Lut di kawasan Laut Mati, pakar arkeologi dari Jerman, Werner Keller, mengesahkan kejadian kedua-dua malapetaka ini. Beliau berkata: ``Kehancuran kaum Lut berlaku disebabkan oleh satu gempa bumi yang kuat diikuti dengan letupan besar, kebakaran dan pengeluaran gas.''


   Kesan peninggalan tembok Zulkarnain juga ditemui pada hari ini. Hamka menyebutkan dalam Tafsir al-Azhar. ``Imam Ibn Kathir meriwayatkan, khalifah al-Wathiq daripada Bani Abbas pernah menghantar satu ekspedisi bertujuan mencari tembok ini. Selepas dua tahun mereka pun kembali melaporkan tembok itu telah mereka temui. Ia merupakan tembok yang besar lagi tinggi yang dibuat daripada besi dan tembaga dan mempunyai kunci-kunci serta pintu yang besar.


   Syed Qutub di dalam Zilal al-Quran mengatakan tembok itu terdapat di kota Tarmiz di Asia Tengah dan ia dikenali sebagai `Pintu Besi'. Pada abad kelima belas Masihi, seorang pengkaji dari Jerman dan seorang lagi dari Sepanyol telah menyelidik `Pintu Besi' ini dan mereka mendapati tembok ini terletak antara Samarkand dan India. Pengkaji-pengkaji ini merumuskan, besar kemungkinan tembok besar ini ialah tembok binaan Zulkarnain.''


   Penemuan-penemuan ini dan yang lain-lainnya jelas menunjukkan kisah al-Quran adalah benar. Kebenaran ini mengesahkan bahawa al-Quran adalah wahyu Allah yang diturunkan kepada nabi Muhammad.


- PTS Publications & Amp Distributors Sdn Bhd. -

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...