26 December 2012

Nakhoda Kefahaman

   Menelusuri ilmu Allah SWT yang sangat luas dan tidak terhitungnya ini bukanlah suatu perkara yang mudah  seperti dibicarakan oleh lisan sekalian makhluk yang berpangkat khalifah. Persimpangan dan perbezaan akan tercetus dengan kepelbagaian pengolahan pemikiran setiap khalifah di muka bumi ini. Lontaran idealisme setiap saat ke segenap ruang lingkup ilmu sejagat mengakibatkan kepelbagaian tersebut tidak sekali dapat dihadang walau dengan menggunakan besi waja keutuhan ilmu tertinggi yang digapai oleh seseorang mahupun sekumpulan. Lantaran itu terbukti jualah kepelbagaian dalam menelusuri ilmu Allah ini tercetus dari istilah tinta dan jua kalam yang digelar dengan nama FAHAM. 
   Adapun istilah tinta dan jua kalam ini mudah diungkap serta dilafazkan makhluk tidak bertulang yang dikenal lidah, namun ianya tidak mudah untuk diadaptasikan dalam metafora umum demi menyeimbangi kepelbagaian ilmu dalam jiwa setiap khalifah. FAHAM seorang khalifah tidak sama jualah FAHAM khalifah yang lainnya disebabkan wujudnya kepelbagaian yang sememangnya tidak dapat dihadang mahupun disama-ratakan ia. Jadi khalifah yang kerdil lagi hina ini beryakinkan dengan konsep FAHAM yang tigalah jua mengakibatkan terjadinya kepelbagaian dan keunikan makhluk Allah sejagat yang digelar khalifah. FAHAM yang tiga itu boleh dikelaskan ia dengan : 


(1)
Faham Aqli

" Sesungguhnya Sejahat-jahat makhluk Yang melata, pada sisi (Hukum dan ketetapan)
 Allah ialah orang-orang Yang pekak lagi bisu, Yang tidak mahu memahami sesuatupun
(dengan akal fikirannya)." 

( al-Anfaal 8 : 22 )


   Allah SWT mengurniakan akal fikiran kepada sekalian khalifahNya di muka bumi ini besertakan otak dan tidaklah ianya didatangkan bersendirian. Makanya, seluruh permulaan FAHAM khalifah berpandukan akal yang berpaksi di dalam kawasan otak para khalifah ciptaan Allah. FAHAM akal yang dipandu oleh otak memerlukan banyak logiknya berbanding mistiknya. Apabila sesuatu ilmu itu mula lari dari logiknya maka akal yang dipandu oleh otak tadi mudah hilang arah tujuannya serta mengakibatkan kecelaruan yang mendadak. Sesuatu yang tidak logik tidak akan mudah diterima akal yang dipandu dengan otak.

   Benar otak merupakan satu keunikan yang terbesar dalam pengkajian ilmu saintifik sekalian khalifah yang menggapai ilmu sains alam. Kelebihan dan kehebatan otak tidak lagi mampu dirungkai dengan sempurna dari mana-mana kajian yang telah diaplikasikan terhadap otak berabad lamanya. Lihatlah betapa agungnya Allah mencipta otak, tiada seorang khalifah pun yang mampu merungkai dan menghadam keunikan otak ini dengan sempurna walaupun khalifah tersebut amatlah tinggi pencapaian ilmunya di dalam dunia saintifik. Namun otak yang unik ini tidak akan sekali mampu memandu akal apabila ilmu yang dihadapinya tidak bersifat logik serta sangat-sangat menyimpang jauh dari sifat logik yang diterima otak.

   Ramai dikalangan khalifah di muka bumi ini gemar membiarkan akalnya dipandu dengan otak dan sering merasakan segala yang disampaikan oleh otaknya sahaja merupakan perkara yang benar. Seringkali khalifah yang berpandukan otak ini beranggapan segala yang diarahkan oleh otaknya merupakan FAHAM yang sebenar dan ianya bersifat jitu, tidak goyah serta tidak terkalahkan oleh FAHAM selainnya. Makanya khalifah yang kerdil lagi hina ini berkeyakinan bahawa siapa sahaja khalifah lainnya yang berpegang bahawasanya FAHAM berpandukan otak itu merupakan FAHAM yang sebenar, khalifah tersebut merupakan khalifah yang cetek kecerdikkannya, lemah kejiwaannya serta tidak mampu untuk menelusuri ilmu Allah yang tersangatlah luasnya. Jadi FAHAM aqli yang berpandukan otak bukanlah FAHAM yang sebenar lagi jitu serta tidak terkalahkan.

   Beralih pula kepada FAHAM yang seterusnya iaitu :



(2) 
Faham Qalbi

   Demi menelusuri ilmu Allah SWT ini, khalifah sejagat turut juga menggunakan hatinya untuk menyatakan FAHAM mahupun mendapatkan FAHAM. Para khalifah haruslah mengetahui apakah kewujudan FAHAM menggunakan hati itu merupakan FAHAM yang sebenar mahupun jitu ataupun terdapat juga penyimpangan yang amat ketara dalam menelusuri ilmu Allah yang luas. Hati bagi setiap khalifah tidak dapat tidak disertakan hawa nafsu yang sering menggoyahkan keseimbangan FAHAM yang sebenar dalam setiap penelitian ilmu Allah SWT.

   Perasaan yang sering bercampur baur di dalam hati mengakibatkan segala ilmu yang pada dasarnya telah difahami hati mula menjadi kucar-kacir serta mengakibatkan kekeliruan yang mendadak. Sungguh pada permulaan terbentuknya jasad seseorang khalifah itu bermulanya dengan pembentukkan leluhur yang dikenali dengan segumpal darah dan diberi nama hati. Namun begitu ianya bukanlah penghujahan kukuh demi menyatakan FAHAM dari hati itu merupakan FAHAM yang asli. Akal juga mampu dipandu oleh hati. Maka akal yang dipandu oleh hati ini akan membuahkan FAHAM yang berlainan dengan akal yang dipandu oleh otak.

   Awalnya, akal yang dipandu oleh otak tadi tertegak atas dasar logik dan tidak akan membuahkan hasil FAHAM andai logik tidak turut serta dalam penghasilannya. Lain pula dengan akal yang dipandu oleh hati. Perasaan sangat berkait rapat dalam membuahkan FAHAM menggunakan ramuan akal yang dipandu oleh hati. Seringkali FAHAM dikucar-kacirkan dengan perasaan yang pelbagai, adakalnya FAHAM itu berlandaskan perasaan kasihan, kasih sayang, pengorbanan dan sebagainya. FAHAM sebegitu selayaknya untuk perhubungan mahupun pertalian sesama khalifah lainnya, namun dalam memahami konteks ilmu Allah, FAHAM sebegini mengakibatkan kekeliruan yang tersangat dahsyat dan pastinya mengakibatkan khalifah yang sedang menelusuri ilmu Allah itu akan terjebak ke dalam FAHAM songsang yang tidak berkesudahan.

   FAHAM menggunakan hati ini dipelopori golongan khalifah yang menggunakan ilmu Allah demi kepentingan peribadi mahupun sesuatu institusi. Kerajaan Rom yang dipelopori oleh golongan agama samawi terdahulu menggunakan pendekatan FAHAM qalbi demi meraih simpati dan keuntungan dalam membangunkan empayar Rom. Diselitkan ke dalam hati segenap penganutnya dengan pengorbanan Nabi Allah demi menebus dosa khalifah sejagat agar tidak diseksa di akhirat kelak dan mendapat pengampunan total dari tuhan atas dasar pengorbanan yang dilakukan Nabi Allah. Maka tercetuslah FAHAM ilmu Allah itu dengan menggunakan hati bagi setiap khalifah yang diracuni dengan kalam berperasaan dari golongan khalifah lainnya yang ingin mendapatkan kepentingan peribadi mahupun institusi.

   Jadi FAHAM qalbi merupakan FAHAM yang mudah diracuni dengan perasaan dan pastinya FAHAM sebegini bukanlah FAHAM hakikat yang mampu membawa jauh seorang khalifah itu merentasi lautan ilmu Allah yang tiada taranya ini. Dengan itu khalifah sejagat haruslah waspada dengan FAHAM yang tercetus dari akal yang dipandu oleh hati yang mudah diracuni dengan perasaan yang pastinya dicatur oleh hawa nafsu.  

   Melangkah pula kepada FAHAM yang lebih tinggi nilainya iaitu :



(3)
Faham Imani


   Setiap makhluk yang bergelar khalifah sangatlah berbeza dengan makhluk lainnya dari segi penciptaan dan juga peranan di muka bumi Allah yang terbentang luas ini. Kesempurnaan penciptaan yang dianugerahkan kepada seluruh khalifah merupakan kemulian teragung dari Allah 'Azzawajalla. Ada juga makhluk selain khalifah yang hampir serupa penciptaannya dengan khalifah namun tetap jua dibezakan Allah dengan mengurniakan satu perbezaan yang besar lagi ketara dengan menganugerahkan akal kepada khalifah. Akal tidak disertakan Allah kepada makhluk selain khalifah walaupun otak dan hati telah diberikan kepada makhluk lainnya. Maka dengan akal yang dianugerahkan pencipta membuatkan khalifah bertakhta penuh untuk mentadbir bumi Allah yang terbentang luas.

   Akal yang dipandu oleh otak dan hati bukanlah akal yang sempurna kerana kecacatan seperti logik dan perasaanlah yang mengakibatkan akal yang dipandu keduanya tidak mampu menggapai kesempurnaan. Maka lahirlah leluhur dari ilahi yang merupakan cahaya kudus yang tidak terpadam oleh mana-mana kegelapan dalam segenap galaksi yang tercipta. Leluhur tersebut dikenali dengan nama iman oleh seluruh khalifah muka bumi. Ramai khalifah yang mengenalinya dengan sekadar nama melalui pembacaan tidak kurang juga yang mengenalinya dengan perkhabaran. Hanya khalifah yang merasai kehadiran iman tersebut sahaja benar-benar mengenalinya.

   Apabila khalifah yang merasai kehadiran iman dan membenarkan akal dipandu dengan iman maka tercetuslah buah FAHAM yang hakiki. Buah FAHAM itu tidak akan sekali tercela dengan anasir seperti logik dan perasaan yang pastinya akan mengakibatkan kecelaruan dan kesesatan yang tidak berkesudahan dalam menelusuri ilmu Allah yang tiada taranya. Khalifah yang kerdil lagi hina ini menegaskan kepada seluruh khalifah lainnya agar membenarkan akal khalifah seluruhnya dipandu oleh iman bukannya membiarkan akal dipandu oleh otak dan juga hati.

   Perbalahan yang semakin berleluasa kini merupakan hasil FAHAM yang dicanai oleh otak mahupun hati oleh khalifah yang membenarkan akalnya dipandu oleh kedua-dua unsur tersebut. Andai seluruh khalifah menggunakan pendekatan FAHAM Imani dalam menelusuri ilmu Allah yang luas, khalifah yang kerdil lagi hina ini berkeyakinan jitu menyatakan bahawa pastinya seluruh khalifah mampu menerima kepelbagaian dalam menafsirkan ilmu Allah yang tiada taranya. Pastinya seluruh khalifah tidak semata-mata FAHAM dengan logik mahupun FAHAM dengan perasaan. Kepelbagaian itu akan terus kekal wujud dan tidak akan sekali mampu disama-ratakan oleh tangan-tangan khalifah kerana ilmu Allah itu bukan sekecil FAHAM mana-mana makhluk yang bergelar khalifah muka bumi.

   Duhai para khalifah sekalian alam, kita diagendakan dengan pelbagai kekucar-kaciran oleh musuh Allah yang nyata. Dia digelar syaitan durjana yang tidak senang duduk melihat kepelbagaian khalifah dalam memahami ilmu Allah SWT. Dia mewacanakan strategi yang teliti dengan mewujudkan perbalahan sesama khalifah. Dia meletakkan ke dalam jiwa khalifah itu menentang kepelbagaian dan menyakinkan seluruh khalifah dengan pernyataan bahawasanya kefahaman seorang khalifah itu lebih benar dari kefahaman khalifah lainnya. Syaitan berbondong-bondong memalu gendang dan berteriak keras melaungkan kalimah perbalahan ke segenap penjuru otak dan hati khalifah agar terus berlaku perpecahan agar tidak terciptanya penerimaan kepelbagaian memahami ilmu Allah sesama khalifah sejagat.

   Benarkanlah iman memandu akal agar terselamatlah otak dan hati para khalifah sekalian dari terjebak dengan agenda syaitan durjana. Berhenti berbalah dan carilah titik pertemuan sesama kita duhai para khalifah yang dimuliakan Allah sekalian. Kita sebagai khalifah yang berdiri diatas kalimah lailaha illallah muhammadur rasulullah ini wajib menggunakan FAHAM Imani dalam menelusuri ilmu Allah SWT dan menerima kepelbagaian yang sedia ada yang mana kepelbagaian tersebut tidak termaktub di dalam larangan Allah dan RasulNya. FAHAM seorang khalifah tidak akan sesekali sama dengan FAHAM khalifah lainnya dalam menterjemahkan ilmu Allah yang terlalu luas serta tiada terbandingnya. Moga-moga seluruh khalifah yang menghadam apa yang dibawakan oleh khalifah kerdil lagi hina ini mampu difahami dengan FAHAM Imani.


Wallahu wa Rasuluhu a'lam.




© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

2 comments:

  1. thanks for sharing, nice entry..! Khulasohnya di sini, kita sebagai khalifah di muka bumi ini perlulah memahami ilmu Allah yang sangat luas itu dengan FAHAM IMANI,,bukan faham aqli atau faham qalbi semata-mata...=)

    ReplyDelete
    Replies
    1. My pleasure.. syukran sebab sudi luangkan masa untuk menghadam penulisan penulis.. :)

      Delete

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...