28 March 2012

Benarkah Islam Agama Penyelesaian?!





   بسم الله الرحمن الحيم 

   Salam sejahtera ke atas semua kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah sekalian. Semoga anda semua berada di dalam lingkungan rahmat dan belas Ehsan Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Muhammad SAW serta para sahabat dan ahli keluarganya. Pada hari ini penulis ingin membicarakan beberapa perkara berkenaan agama Islam. Berdasarkan tajuk diatas, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawasanya Islam merupakan agama penyelesaian kepada semua perkara yang berkaitan kehidupan manusia. Agama lain tidak mampu untuk menjadi agen penyelesaian terhadap kehidupan manusia kerana terdapatnya campur tangan makhluk terhadap agama tersebut. Agama selain Islam tidak lagi mampu untuk menangani kemelut permasalahan kehidupan manusia dek kerakusan para penganutnya mengubah dan menambah sesuatu di dalam agama tersebut mengikut acuan dan pemahaman tersendiri. 

   Mengapa penulis mengatakan bahawasanya Islam itu merupakan agama penyelesaian dan di atas hujjah apakah yang mampu untuk menyokong sepenuhnya dengan apa yang diketengahkan oleh penulis? Cuba kita amati dan fikirkan dengan sebaiknya berkenaan firman Allah SWT yang bermaksud :


   " Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka Sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisabNya."

   Jelas di dalam ayat tersebut menunjukkan pada permulaannya ahli kitab tidaklah berselisih tentang kebenaran agama Islam akan tetapi setelah mengetahui bahawa Islam merupakan agama yang benar makanya mereka mula hasad dan mula menokok tambah perihal agama mereka bagi memenuhi kehendak hawa nafsu. Apabila sesuatu agama itu mengikut acuan dan kehendak makhluk ianya adalah agama tercemar dan bukan lagi asli dari pencipta makhluk. Dengan itu benarlah Islam sebagai agama penyelesaian kerana ianya merupakan agama yang diredhai oleh Allah SWT dan tiada penambahan dari manusia.

   Islam merupakan agama penyelesaian apabila mampu menjawab tiga persoalan pokok yang sering diutarakan manusia. Persoalan pokok tersebut merupakan fenomena fitrah atau naluri seorang manusia  yang mana lazimnya seluruh manusia yang berakal itu pasti akan mempersoalkan perkara yang sama. Soalan penulis kepada seluruh sidang pembaca, sebagai seorang manusia, pernahkah anda ditanya tentang asal-usul kejadian manusia? Kenapa anda diciptakan sebagai manusia dan apa tugas anda? dan ke manakah hala tuju kita selepas mati? Penulis yakin pasti anda semua pernah ditanya atau bertanya tentang persoalan tersebut dan sangat-sangat menginginkan satu jawapan yang pasti. Antara tiga persoalan pokok tersebut adalah :


1. Dari mana kita diciptakan?
2. Kenapa kita diciptakan?
3. Kemanakah ketentuan kita?

   Mari kita kupas satu persatu jawapan terhadap persoalan tersebut dan sekaligus menjadikan jawapannya sebagai bukti bahawasanya Islam itu merupakan agama penyelesaian.





1. Dari mana kita diciptakan?

   Apabila dilihat pada soalan di atas, umum mengetahui terdapatnya pelbagai teori berkenaan penciptaan manusia. Antara teori barat yang sangat popular dan acap kali disebut di dalam ilmu sains moden iaitu teori Darwin yang mengatakan bahawasanya manusia itu tercipta dari kesan revolusi. Dari seekor beruk berubah kepada manusia yang sempurna. Lain pula dengan firman Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud 

   " Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah." (12)

   " Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh." (13)

   " Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." (14)

( Surah al-Mukminuun 23 : 12-14 )


   Al-Quran telah diturunkan lebih dari 1500 tahun yang lampau, tanpa pengkajian sains, al-Quran telah pun merungkai persoalan di atas dengan menjawab secarai detail tentang penciptaan manusia. Jelaslah di situ menunjukkan bahawasanya al-Quran itu benar-benar kalam tuhan dan bukanlah satu naskhah yang dicipta manusia. Jawapan yang diberikan Allah SWT amatlah jelas dan nyata, barangsiapa yang masih mengingkari kebenaran Islam ternyatalah hatinya tidak lagi mampu merasai kebenaran yang hakiki.


2. Kenapa kita diciptakan?

   Pelbagai konsep dan hujjah yang cuba diketengahkan oleh pelbagai agama berkenaan tujuan penciptaan manusia. Ada yang mengatakan manusia itu dicipta untuk melakukan kemusnahan di atas dunia dan ada pula yang mengatakan manusia dicipta bagi merealisasikan impian tuhan serta pelbagai lagi hujjah khayalan dan andaian yang membuta tuli tentang tujuan penciptaan manusia. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

   " Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu."

( Adz-Dzaariyaat 51 : 56 )

   Dengan mudah Allah menyimpulkan persoalan manusia dengan menjawab bahawasanya manusia dan jin itu tidaklah diciptakan dengan sia-sia akan tetapi diciptakan bagi beribadah kepada Allah dengan mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Mudah bukan di dalam Islam, hanya menuruti apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan meninggalkan apa sahaja yang dilarangNya. Dalam Islam, semua perbuatan baik adalah dianggap ibadah yang merupakan perintah dan segala yang buruk dan mendatangkan bahana kepada manusia dianggap larangan Allah SWT. Segala ketetapan hukum dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada pemerintahan negara, Islam telah menggariskan seluruh panduan dan atur caranya bagi kemudahan perjalanan hidup manusia di dunia mahupun di akhirat.

3. Kemanakah ketentuan kita?

   Manusia seluruhnya pasti mengetahui pada satu masa kelak diri mereka akan binasa iaitu dengan menemui ajal serta meninggallkan dunia ini dan pergi kepada satu alam yang tidak diketahui bagi sesiapa sahaja yang hidup. Ingin merasai alam tersebut hanyalah dengan menempuh kematian. Kebanyakkan manusia pasti sangat gerun tatkala terfikirkan bagaimanakah nasib mereka ketika menghadapi ajal dan adakah mereka akan bertemu syurga atau akan terjun ke dalam neraka. Manusia juga pada asalnya tidak mengetahui kepada siapa mereka akan kembali dan siapakah penentu segalanya. Ada yang mengatakan segalanya terjadi hanya disebabkan suatu fenomena semulajadi dan ada pula yang meletakkan hukum Karma sebagai landasan kepada ketentuan manusia. Segalanya berupa khayalan setelah Islam datang dimana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

   " Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya)."

( Al-Insyiqaaq 84 : 6 )



   Islam dengan mudah menjawab bersandarkan firman Allah di atas bahawasanya manusia itu akan kembali kepada Allah SWT dan Dialah yang akan membalas segala usaha manusia di atas muka bumi. Allah lah yang menjadi segala pemutusnya samada kita layak untuk dimasukkan ke syurga ataupun neraka. Bagi hati yang menerima kebenaran dengan mengucapkan dua kalimah syahadah dan mentaati segala perintah Allah serta meninggalkan segala laranganNya maka manusia itulah yang benar-benar beruntung kerana telah pun menjumpai jalan yang hakiki.


   Terdapat banyak lagi hujjah dan bukti yang menunjukkan Islam itu adalah agama penyelesaian. Bolehlah sidang pembaca sekalian mencari dan menggali lagi persoalan-persoalan yang sememangya mampu dijawab oleh Islam. Mengapa Islam mampu menjawab segala persoalan? Kerana Islam merupakan agama kebenaran yang datang daripada Allah SWT serta telah pun diredhai olehNya. Allah SWT menjanjikan Islam itu sebagai agama yang asli dariNya dan tidak akan mampu dihancurkan oleh tangan-tangan makhluk walau apa cara sekalipun. Biar diperangi sekuat mana pun, Islam pastinya tidak akan lenyap dari muka bumi ini kerana penjaganya adalah tuan kepada makhluk iaitu Allah SWT. Bersyukurlah jika anda merupakan seorang muslim atau muslimah kerana anda sedang berada di jalan kebenaran dan insyaAllah anda akan memperolehi kejayaan di hari kelak. Bersamalah memacu agenda dakwah dalam merealisasikan kebangkitan Islam semula kelak, semoga Allah membalas segala usaha kita dalam menyebarkan syiar Islam dengan menganugerahkan Rahmat dan EhsanNya di akhirat sana.




Wallahua'lam... 


© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

5 comments:

  1. aYu (SiTi nOrHaFiZaH IdAyU)March 28, 2012 at 5:57 AM

    Input yg menarik...:)

    ReplyDelete
  2. penulisan yang semakin baik dan menarik minat utk membaca..persoalan yg diutarakan mendorong pembaca berfikir dan bersyukur kerana dlahirkn dlm nikmat iman dan islam.ternyata Islam adlh agama yg syumul dan penyelesai kpd sgala mslh..semoga penulis lbh berjaya dlm bidang penulisan:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah wa syukru lillah.. syukran diatas doa, semoga doa fadzidah diperkenankan Allah.. amin..

      Delete
  3. Terima kasih bro. Input yang sangat menarik. Memang betul tu agama islam agama penyelesaian tapi orang selalu cari islam bila ada masalah. Masa senang di lupa.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sama-sama.. Manusia itu tak dapat lari dari sifat alpa.. wajib selalu muhasabah diri agar hidup sentiasa diberkati...

      Delete

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...