" Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih tuhan tiada bertepi, sayang tuhan janjinya pasti."
Sedang aku duduk termenung sambil mendengar alunan nasyid dari kumpulan Raihan yang sangat menyentuh hati, aku terkenang perjalanan hidupku yang kian lama kian jauh dari tuhan. Selama nafasku berlalu pergi, aku rasakan banyak kehidupanku dipersia-siakan tanpa ada manfaatnya.
Dulu aku merupakan seorang jaguhan motor jalanan. Saban malam, akan aku habiskan masaku dengan menunjuk lagak dikhalayak ramai, memecut motor ku selaju yang mungkin. Setiap hari, aku banyak menghabiskan masa ku dengan mencantikkan motor dan mem'bikin' enginenya sehingga mampu untuk memecut selaju 200 Km seminit.
Setiap kali mendapat gaji, aku tidak sekalipun menghiraukan keperluan harianku. Biar makan maggie sekalipun aku akan tetap teruskan minat dan kegilaanku terhadap motor RXZ berengine Y-Pang yang menjadi kekasihku sekian lama. Segala modal dan keringat sentiasa aku curahkan kepada kekasih kesayanganku RXZ. Motor RXZ ku sentiasa dekat dihati dan aku tidak sedikit pun merasa rugi melaburkan semua harta bendaku padanya.
Suatu hari, aku dimasukkan ke hospital akibat mengalami kecelakaan di jalan raya. Kemalangan berlaku ketika aku hendak pulang ke rumah setelah selesai kerja. Kecederaanku agak parah, kepala ku sedikit terkoyak dan tangan kiriku patah tebu. Aku ditempatkan di dalam wad bagi beberapa hari.
Semasa di wad, aku dijaga oleh seorang jururawat yang anggun sekali wajahnya. Matanya yang ayu membuatkan aku sering terpesona tatkala bertentang mata dengannya. Tertera di name tagnya Nur Syahadah, orangnya menawan akhlaknya budiman. Semasa di wad, setiap hari Nur Syahadah akan datang menjalankan tugasnya sebagai jururawat. Setiap kali kedatangannya aku sentiasa mengambil peluang untuk menatap wajahnya yang penuh keayuan. Aku sedikit pun tidak mampu bersuara apatah lagi bertanya khabar dan berbual mesra dengannya.
Hari terakhir aku di wad bagi menjalani rawatan, aku cuba gagahkan jua hati ini untuk berbual dengan Nur Syahadah. Akhirnya Nur Syahadah memberikan nombor telefon bimbitnya dan katanya hubungilah dia sekiranya berkesempatan. Pada ketika itu hatiku teramatlah bahagia walaupun yang ku perolehi hanyalah nombor telefon bimbitnya.
Genap seminggu aku sembuh dari kecederaanku. Hampir-hampir sahaja aku terlupa kepada Nur Syahadah, seorang jururawat yang telah menawan hatiku. Aku capai telefon bimbitku dan terus menghubunginya. Panggilanku berjawab dan suara Nur Syahadah amat santun sekali. Tidak terlalu lembut dan tidak terlalu kasar, nadanya hanya mendatar lagak bercakap dengan sahabat sekerja. Aku mengajaknya berjumpa dan makan malam setelah Nur Syahadah selesai kerjanya di Hospital. Nur Syahadah menerima pelawaanku dengan baik.
Dipendekkan cerita, bermulalah episod kami di sebuah restoran yang sederhana akan tetapi suasananya meriah dan terhindar dari bunyi-bunyian yang membingitkan telinga. Sebagai lelaki aku pun memulakan bicara, " Maaflah sebab menyusahkan Nur Syahadah untuk menemani saya makan malam hari ni." kataku sambil tersenyum. " Eh, takdelah menyusahkan. Bersyukur saya hari ni sebab ada orang nak belanja makan malam. Selalunya balik kerja saya kena memasak pulak untuk makan. Kira beruntunglah hari ni awak nak belanja makan." Aku selesa dengan jawapan yang diberikan. Malam itu kami berbual panjang dan bertukar maklumat tentang diri masing-masing.
Selesai kami makan malam, masing-masing bersiap untuk pulang. Aku mempelawa diri untuk menghantarnya pulang akan tetapi Nur Syahadah menolak pelawaanku dengan baik. Katanya kami berdua bukan mahram untuk berdua-duan diatas motor. Aku malu dengan jawapannya dan secara spontan aku meminta diri untuk beredar. Sebelum melangkah pergi, Nur Syahadah menghulurkan sepucuk surat kepadaku dan meminta aku membacanya apabila tiba di rumah nanti. Dengan penuh tanda tanya dan perasaan ingin tahu, aku mencapai surat tersebut dan meminta diri untuk pulang.
Setibanya di rumah, aku terus merehatkan tubuhku diatas sofa dan terus membuka warkah pemberian Nur Syahadah di restoran tadi.
Assalamualaikum,
Semoga tenang hendaknya tika membaca warkah pemberian Nur Syahadah ini. Maafkan Nur Syahadah kiranya membuat awak tertanya-tanya tentang isi surat ini dan mengapa tidak semena-mena Nur Syahadah memberikan sepucuk surat tatkala hari pertama kita berjumpa.
Selama ini Nur Syahadah tidak pernah sekalipun menerima pelawaan mana-mana lelaki untuk keluar bersama. Hari ini merupakan hari pertama Nur Syahadah makan malam bersama seorang lelaki. Sebenarnya apa yang kita lakukan ini amatlah menyalahi perbatasan agama kita. Jika awak benar-benar tulus untuk berkawan dengan Nur Syahadah, moleklah kiranya kita berkawan dalam keadaan yang halal. Sesuatu yang haram itu hanya mengundang bahaya kepada kita. Nur Syahadah berharap kita dapat mencari keredhaan tuhan dan menghindari segala kemurkaannya.
Akhir kalam, jika awak tidak mampu membawa kearah yang halal maka cukuplah setakat ini kita berkawan. Nur Syahadah tidak mahu mengundang kemurkaan tuhan kerana Nur Syahadah sangat mengharapkan Ehsan dan Rahmatnya tuhan. Nur Syahadah sangat berharap yang awak mampu membawa hubungan ini kearah yang halal.
Sekian.
Nur Syahadah.
Setelah selesai membaca isi surat Nur Syahadah hatiku terus tersentap. Lama juga aku termenung dan memikirkan masa depanku. Setelah beberapa lama, aku terus bertekad untuk memenuhi permintaannya demi menghalalkan hubungan yang terbina ini. Lalu aku mencapai telefon bimbitku dan menghantar sms kepada Nur Syahadah. " Berikan saya masa selama 6 bulan untuk saya melamar awak." Tulisku di dalam sms. " Baiklah, kiranya Nur Syahadah sudah bertunang dengan awak. Nur Syahadah akan tunggu selama 6 bulan dan dalam tempoh 6 bulan ini sekiranya ada pinangan akan Nur Syahadah tolak. Harap awak menepati janji." Balasnya dalam sms.
Setelah 6 bulan bekerja keras, aku telah pun mengumpul dana secukupnya untuk melamar dan menikahi Nur Syahadah. Lalu aku menghantar sms kepadanya, " Nur Syahadah, minggu depan saya akan masuk meminang awak. Kita akan berkahwin tidak lama lagi. Saya ingin melunaskan janji saya pada Nur Syahadah." Kataku dalam sms dengan hati yang penuh kegirangan. " Syukur alhamdulillah, saya sudi menerima pinangan awak. Rombongan awak sangat dialu-alukan." Aku melompat kegembiraan tatkala membaca balasan sms nya.
Namun, segalanya bertukar menjadi pahit dalam sekelip mata. Nur Syahadah menghadapi kecelakaan di jalan raya sehari sebelum sempat aku masuk meminangnya. Nur Syahadah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Aku tersedar dari lamunanku. Alunan nasyid kumpulan Raihan kembali menyapa telingaku. " Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih tuhan tiada bertepi, sayang tuhan janjinya pasti." Benarlah kata-kata tersebut, kasih manusia tiada abadi. Kini aku tidak lagi bergelar seorang jaguhan jalanan. Aku kembali mendekatkan diriku dengan tuhan. Segalanya berlaku tanpa diduga, mungkin juga ini merupakan ujian tuhan buatku agar aku kembali menghadapnya.
Jiwaku kini tidak seperti dahulu, RXZ yang dulunya menjadi kekasihku hanya ku jadikan sebagai alat untuk aku kemana-mana. Kekasihku yang pada asalnya sebuah motor bertukar kepada seorang manusia yang bernama Nur Syahadah dan kini aku telah menjadikan ALLAH sebagai kekasihku. Aku sedar di dalam dunia ini tiada apa yang kekal melainkan Allah dan sungguh tidak sia-sia sekiranya Allah ku jadikan sebagai kekasihku. Dialah yang memberikan segala-galanya kepadaku dan kini cintaku hanya untuk DIA.
© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted
menarik...:)
ReplyDelete(aYuE)
Syukran...
ReplyDeletekisah yg menyentuh hati..
ReplyDeleteni kisah rekaan.. bukan kisah benar..:)
ReplyDeletekire ok la..sbb walaupun ni kisah rekaan,tp mampu menyentuh perasaan..so,penulis berjaya menambatn hati n perasaan pembaca..mksudnye,cite nie memberi kesan n impak kepada pembaca..seolah2 kisah ini adalah kisah benar...:)
ReplyDeletesyukran2..
ReplyDeleteAWESOME :)
ReplyDeleteThanks.. :)
Delete