15 March 2012

Bertunang - Makna Dan Hukumnya Mengikut Syara'

    Hakikat kejadian manusia itu diciptakan adalah dengan berpasang-pasangan. Manusia diciptakan dengan dua jantina iaitu lelaki dan wanita. Maka semestinya lelaki memerlukan wanita dan sebaliknya. Islam amat menggalakkan ummatnya supaya berkahwin dan tidak melarang seluruh ummatnya untuk melaksanakan ibadah perkahwinan tersebut. Berbeza pula dengan beberapa agama, ada diantaranya yang melarang perkahwinan dan ini amatlah bertentangan dengan fitrah kejadian dan kehendak manusia. Sebagaimana yang kita sedia maklum, adat di Malaysia terutamanya adat ummat Islam Melayu amat menggalakkan pertunangan sebelum berkahwin dan seringkali majlis pertunangan ini melanggar perbatasan syara'. Penulis terpanggil untuk menerangkan serba sedikit berkenaan bertunang dan apa perbahasannya melalui kaca mata Islam.



    Bertunang adalah muqaddimah kepada perkahwinan iaitu dengan melamar wanita untuk dijadikan bakal isteri atau meminta persetujuan pihak wanita untuk menjadi isteri kepada pihak lelaki. Bertunang juga membawa makna menzahir dan mengiklankan kehendak / kemahuan seseorang lelaki untuk berkahwin dengan seseorang wanita.

    Bertunang itu telah disyariatkan di dalam Islam sebagaimana firman Alllah SWT, maksudnya :

    " Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa Yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih Dalam idah), atau tentang kamu menyimpan Dalam hati (keinginan berkahwin Dengan mereka). Allah mengetahui Bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati) mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji Dengan mereka di Dalam sulit, selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) Yang sopan. dan janganlah kamu menetapkan Dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum habis idah Yang ditetapkan itu. dan ketahuilah Sesungguhnya Allah mengetahui apa Yang ada Dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya, dan ketahuilah, Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar."
( Surah al-Baqarah 2 : 235 )

    Sekiranya anda ingin bertunang, anda perlulah memenuhi syarat-syaratnya yang termaktub di dalam perundangan Islam. Antara syarat-syarat tersebut adalah :

1. Berjumpa dengan wali / mahram wanita.

   Wali wanita adalah yang terdiri dikalangan mahramnya terutama ayah, abang, pakcik sebelah ayahnya atau ibunya dan siapa sahaja mahramnya yang berkaitan dengan wanita tersebut. Anda dilarang bertunang tanpa pengetahuan wali wanita tersebut.

2. Pertunangan wajib dirahsiakan.

   Islam melarang keras terhadap tindakan menghebahkan pertunangan. Tidak dibenarkan sama sekali membuat hebahan berkenaan pertunangan. Relevennya, andai tidak jadi berkahwin dan pertunangan dihebahkan besar-besaran kedua-dua pihak akan menanggung malu dan ini mengakibatkan  maruah tercemar terutama maruah wanita. Islam itu agama yang membela wanita dan maruah.

3. Bertunang dengan wanita yang dibenarkan syara'.

   Antara wanita yang tidak boleh dipinang mengikut syara' ialah wanita yang talak satu dan dua serta ada kemungkinan ruju', wanita yang kematian suami dan masih tidak habis i'ddah iaitu sebanyak tiga kali suci, wanita yang diceraikan dengan talak tiga dan masih tidak habis i'ddah.

4. Tidak meminang tunangan lelaki lain.

   Islam tidak membenarkan mana-mana lelaki meminang tunangan saudara seIslamnya. Sabda Rasulullah SAW, maksudnya :

   " Mukmin itu bersaudara, tidak halal baginya membeli diatas barangan belian saudaranya, dan jangan meminang diatas pinangan saudaranya sehinggalah diputuskan ( saudaranya memutuskan pertunangan)."

   Empat syarat tersebut wajiblah dipatuhi oleh setiap ummat Islam terutamanya ummat Islam di Malaysia. Jauhilah adat menghebahkan pertunangan kerana Islam melarangnya. Wajib bagi anda selaku muslim mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Penulis berharap anda tergolong dalam golongan yang mematuhi syarat-syarat tersebut. Sekiranya anda melampaui batas, nauzubillah nescaya anda akan diseksa di akhirat kelak.

Wallahua'lam..

5 comments:

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...