01 March 2013

Perlakuan Zina : Bersangkutan Komuniti Manusia atau Sekadar Dosa Individu Dengan Tuhannya?

Bermulanya kini era dunia globalisasi dimana kebanyakkan komuniti kehidupan manusia dirangkumi dengan aspek kebudayaan barat dan timur telah menampakkan hasil perubahan ketara samada dari sudut positif dan negatifnya. Berkongsi kepelbagaian yang kadangkala kontradik dengan naluri manusiawi membuatkan segala yang asalnya jernih bertukar menjadi keladak serta membuahkan hasil komuniti songsang samada dari segi fizikal mahupun mental. 
Sejak berkurun lama terdapat satu permasalahan besar yang dikongsikan bersama di dalam kehidupan manusia iaitu kehendak fitrah inginkan hidup bertuhan atau menyandarkan harapan serta pegangan kepada satu kuasa besar yang ampuh. Maka lahirlah kalimah dengan pengertian yang sangat mendalam dan memberi kesan kepada hati manusia iaitu kekufuran dan keimanan terhadap Tuhan.

Namun, terdapat satu lagi permasalahan besar selepas kekufuran dan keimanan yang dikongsi bersama dalam kehidupan manusia iaitu penzinaan. Secara ringkasnya perlakuan zina bolehlah diertikan dengan makna "persetubuhan diantara dua manusia yang berlainan jantina iaitu lelaki dan perempuan yang tiada ikatan pernikahan yang sah samada salah satu diantaranya sudah bernikah mahupun tidak".
Agama Islam melarang keras perlakuan tersebut dengan mendatangkan larangan di dalam kitab suci Al-Quran. Allah SWT berfirman  :

"dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Al-Israa’ 17 : 32


Islam juga turut membawa kaedah penyelesaian terhadap perlakuan zina. Firman Allah SWT :



"Perempuan Yang berzina dan lelaki Yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa Yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang Yang beriman."

An-Nuur 24 : 2

Islam merupakan agama penyelesaian terhadap permasalahan manusia dari sekecil-kecil perkara. Maka manusia yang menganutinya tidak seharusnya terlibat dengan perlakuan zina kerana terdapat larangan yang jelas nyata di dalam kitab suci Al-Quran dimana ianya merupakan kalam terus dari Allah SWT Tuhan sekalian alam. Bagaimana pula jika ada penganutnya yang melakukan zina dan diketahui samada secara individu mahupun berkumpulan? Cukupkah sekadar dinasihati dan dinikahkan? Jika begitu penyelesaiannya maka hukum yang diperintahkan Allah SWT sudah tidak lagi punya nilai disisi penganutnya. 

Pemerintah dan ummat Islam kini sudahlah tidak bertindak sebagaimana hukum yang telah ditetapkan Allah SWT malah lebih bersimpati dengan pelaku zina. Tindakan simpati untuk menjalankan hukuman terhadap pelaku zina jelas dilarang oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya "dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya Dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat,"  - An Nuur 24 : 2.

Komuniti Muslim semakin songsang apabila ada dikalangan ummat Islam yang berpendidikkan agama mengeluarkan kata-kata seperti berikut :

" Biarlah, jika ya pun dia melakukan zina itu adalah urusannya dengan tuhan tiada kena mengena dengan kita."

" Ini semua poyo! Cegah maksiat konon, solat lima waktu cukup ke dak? kah..kah..kah."

" Rasulullah tak suruh kita cari keaiban orang biarpun dia berzina.Kalau kita nampak dan tahu pun biar Allah yang membalasnya, tak perlu kita sibuk-sibuk nak selesaikan."

" Mana nak cari saksi yang thiqoh akhir zaman ni. Tade dah Ustaz ui."

" Hukuman sebat dengan rejam tu dah tak releven untuk zaman sekarang ni."

" Biar pihak berwajib yang uruskan dan pantau hal zina ni. Bukan urusan kita yang kita nak masuk campur."

" Biasalah budak zaman sekarang ni, zina tu dah macam perkara biasa. Kita tak mampu nak buat apa-apa."

Akibat dari pemahaman songsang komuniti Islam masa kini terhadap hal-hal berkaitan zina maka berterusanlah perlakuan zina ini berlaku dan meningkat saban hari sehingga ianya menjadi kebiasaan khabar yang keluar masuk ke dalam telinga ummat Islam setiap hari.



Apakah kesan zina terhadap komuniti manusia terutama komuniti manusia muslim ?



Bolehlah diketengahkan beberapa point penting tentang zina yang melibatkan komuniti manusia antaranya :

- Perzinaan akan melahirkan generasi individu-individu yang tidak ada asal keturunan (nasab). Pada mata masyarakat mereka tidak memiliki status sosial yang jelas.

- Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.

- Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum keluarganya di mana mereka akan merasa jatuh martabat di mata masyarakat, sehingga kadang-kadang menyebabkan mereka tidak berani untuk mengangkat muka di hadapan orang lain.

- Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit berbahaya seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.

- Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu masyarakat yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa zina yang tersebar dan yang dilakukan secara terang-terangan.



Apakah pula kesannya terhadap pelaku zina itu sendiri?



Kesan terhadap pelaku zina boleh dikelaskan seperti berikut :

- Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.

- Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.

- Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.

- Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.

- Apabila menjadi kebiasaan dengan perlakuan zina maka pelaku zina akan berkehendak menukar-nukar pasangan dan ini akan mengakibatkan percambahan perlakuan zina di dalam masyarakat.

Kesimpulannya, permasalahan zina ini bukanlah semata-mata perkaitan diantara individu dengan tuhannya akan tetapi ianya bersangkutan dengan komuniti kehidupan manusia. Maka apabila kamu melihat kemungkaran maka sedaya mungkinlah merubahnya dengan kemampuan kudrat atau kuasamu, jika tidak berkemampuan maka ubahlah ia dengan lisanmu, jika tidak berkemampuan juga maka bencilah kemungkaran itu dengan hatimu dan itu merupakan tindakan dari selemah-lemah iman.

Bersamalah kita menegakkan amar ma'ruf nahi mungkar bermula dengan diri sendiri dan keluarga sebelum menegakkanya di dalam komuniti manusia.

WaAllahua'lam...

* Sabda Rasulullah SAW : “Jika zina dan riba telah merebak di suatu kaum, maka sungguh mereka telah membiarkan diri mereka ditimpa azab Allah.” (HR. Al-Hakim). Di dalam riwayat lain Rasulullah saw bersabda: “Ummatku senantiasa ada dalam kebaikan selama tidak terdapat anak zina, namun jika terdapat anak zina, maka Allah Swt akan menimpakan azab kepada mereka.” (H.R Ahmad).
© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

1 comment:

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...