07 May 2014

“ Perjuangan Yang Mati ”

   Dunia Islam mutakhir ini dipenuhi dengan gerakan-gerakan Islam yang dilihat berpecah kepada dimensi yang berlainan. Masing-masing sedaya upaya mengejar visi dan misi yang ditujui. Secara jelasnya, politik, kemanusian dan pembangunan insan antara yang menjadi sasaran kepada sesuatu perjuangan. Sehingga ada yang menyatakan diri mereka merupakan pejuang pure Islam yang akhirnya menyebabkan masyarakat muslim sendiri konfius untuk memilih.

Dalam perjuangan yang jelas, kelihatan samar-samar ada yang cuba mencari kelainan dalam perjuangan akan tetapi kelainan tersebut yang menyebabkan perjuangan Islam yang dilaungkan itu sendiri tempang dan tidak sejagat jika dicampuri dengan elemen rasis. Bagaimana perjuangan yang tidak ada nilai toleransi dan hormat ini diperjuangkan di Malaysia ?. Konsep rasis pada peringkat institusi sosial melibatkan dasar dan pelaksanaan bersifat diskriminasi, seterusnya membentuk ketidaksamaan bagi masyarakat. Ini dapat dilihat secara tersirat dalam struktur sosial. Kita jangan lupa bahawa Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa dan agama. Mana mungkin memperjuangkan sebahagian dan sebahagian lain ditinggalkan, seolah-olah perjuangan itu mati.

Kehidupan di dalam masyarakat yang pelbagai tidak dapat tidak merupakan suatu fakta yang tidak dapat kita elakkan. Kita ini adalah rakyat akan tetapi berbeza budaya dan latar belakang agama. Jadi, bagaimana kita boleh taksub dengan konflik identiti diantara komuniti ?. Sedangkan kita menggunakan jalan raya yang sama, tidak ada pula jalan raya yang membezakan identiti penggunanya, tetapi perjuangan yang tiada nilai etika dan moral dipilihnya. Bukankah kita sebagai orang yang berpegang teguh dengan ajaran Islam sepatutnya menawarkan  nilai-nilai yang baik ke dalam kehidupan bermasyarakat dan bagaimana untuk lebih baik hidup bersama di dalam masyarakat yang pelbagai.

Masyarakat muslim juga perlu faham, Allah SWT mahu Kristian, Buddha, Hindu, Athies dan lain-lain menghormati kehendakNya. Menghormati disini bermaksud mengetahui apa yang telah ditentukan olehNya iaitu Dia sememangnya menjadikan kita semua berbilang agama serta kaum. Mungkin kita lupa bahawa kepelbagaian itu bukan sahaja satu cabaran akan tetapi ianya juga merupakan suatu anugerah. Dalam masa yang sama masyarakat muslim perlu berhenti berilusi yang kita ini sedang bersatu di dalam Islam. Hakikat kepelbagaian diantara masyarakat muslim itu wujud. Suatu realiti yang kita juga mesti terima. 

Prof. Dr Tariq Ramadhan menjelaskan etika dan moral Islam selalunya bersandar pada penilaian yang logik dan alasan yang dapat diterima oleh akal yang lurus dan juga naluri yang sihat, iaitu dengan menjelaskan maslahat ( kebaikan ) disebalik apa yang diperintahkannya. Moral dalam Islam bersandarkan karektar manusiawi yang bersifat universal. Lebih meraikan hubungan antara manusia sejagat. 

”… dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan “ ( 5 : 8 )

Jelas, ini memberi gambaran sebuah perjuangan yang mati. Alangkah lebih relevannya jika sebuah perjuangan yang berlandaskan keadilan sejagat atau keadilan sosial dalam menjadikan dunia ini lebih baik. Perjuangan yang radikal seperti itu perlu dihapuskan. Mahukah masyarakat muslim di Malaysia suatu hari nanti ditolak dan ditindas ? Makanya perlu bagi kita yang merupakan masyarakat muslim majoriti di Malaysia bersama-sama agama dan kaum lain memikul tanggungjawab membangunkan negara tercinta ini. Sejarah telah mengajar kita, ternyata faktor hubungan etnik yang harmoni menjadi anak kunci bagi keseimbangan antara kekukuhan ekonomi dan kestabilan Negara. Usahlah kita menyemarakkan lagi sentimen -sentimen perkauman yang tidak menguntungkan sesiapa sehingga menyebabkan berlakunya rusuhan kaum. Ia juga merugikan semua pihak terutamanya Negara.  

Maruah, solidariti dan rasis merupakan elemen utama  ketika kita berurusan dangan agama lain. Persoalannya, mengapa mereka perlu mendengar kata kita ? kerana kita punya keinginan yang sama mahu mengubah dunia kepada yang lebih baik dan menjadikan dunia tempat yang damai. Kita yakin Islam adalah satu-satunya agama yang mampu menawarkan segala bentuk kedamaian. Namun, kesilapan yang besar terletak pada masyarakat muslim sendiri. Nilai etika Islam perlu diterjemahkan oleh masyarakat Islam sendiri dalam meyakinkan pihak lain yang mana masyarakat Islam bermampu mengendalikan masyarakat lain. Dalam meletakkan suatu usaha mengharmonikan keadaan Negara, masyarakat muslim perlu mereformasikan sama ada dari konteks individu mahupun institusi agar perjuangan kelihatan tidak janggal dimata masyarakat Malaysia.

Rumusannya, di dalam isu ini perlulah kita mengubah sudut pandang kita kepada sudut yang lebih luas dan perlunya konsep keterbukaan dalam menerima sesuatu, disertai dengan nilai-nilai etika dan moral dalam memastikan kehidupan kita bersatu padu diatas nama membangunkan Negara. Jangan dibiarkan perjuangan itu terus mati.

Firdaus Muhamad Amin
Usuluddin, Uni Al al-bayt Jordan.

© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...