03 April 2012

Strategi Dakwah Yang ProAktif



بسم الله الرحمن الحيم

   Assalamualaikum diucapkan kepada seluruh warga pembaca. Diharapkan semuanya berada dalam keadaan sihat walafiat dan penuh kegembiraan dan ketenangan dalam menghadapi cabaran kehidupan seharian. Entri pada kali ini penulis ingin membawa seluruh sidang pembaca mengembara ke alam dakwah. Sebagai seorang muslim yang sudah pastinya melafazkan ucapan dua kalimah syahadah punya kewajipan dan tanggungjawab dalam menyampaikan Islam kepada seluruh ummat manusia. Tanggungjawab ini tidaklah membebankan manusia yang bergelar muslim kerana Allah memerintahkan kita selaku hambanya yang bergelar muslim untuk menyampaikan Islam di atas kemampuan kita. Tiadalah paksaan daripada Allah dan Rasulnya untuk kita menyampaikan dakwah sehingga menjadi satu bebanan yang terlalu berat dan tidak mampu untuk dipikul oleh kita. Firman Allah SWT yang bermaksud :

   " Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru ( berdakwah ) kepada kebajikan ( mengembangkan Islam ) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."
( Ali Imran 3 : 104 )

Allah SWT juga turut menekankan pripentingnya dakwah dengan firmanNya yang bermaksud :

   " Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." 
( At-Taubah 9 : 71 )

   Jadi pada hari ini, penulis ingin tampilkan beberapa strategi atau pendekatan dakwah yang telah lama dilaksanakan sejak zaman Rasulullah SAW dan disusun dengan lebih terperinci oleh para pejuang-pejuang Islam kita sejak zaman berzaman supaya perlaksanaannya lebih efektif mengikut kesesuain sesuatu zaman. Islam itu sesuai dengan seluruh zaman, akan tetapi cara perlaksanaan untuk menerapkan intipati Islam ke dalam jiwa-jiwa manusia memerlukan strategi dan pendekatan yang bersesuaian dengan zaman tersebut. Sabda Rasulullah SAW mafhumnya :

   " Islam itu adalah yang paling tinggi ( darjatnya), tiadalah ( agama lain ) yang lebih tinggi ( darjatnya ) berbanding Islam." ( Hadith Riwayat Bukhari )

Dituruti juga sabda baginda yang bermaksud :

   " Sampaikanlah dariku ( Islam ) walaupun dengan satu ayat." ( Hadith Riwayat Bukhari )

    Bila dilihat kembali kepada sabda Rasulullah SAW di atas, dapatlah kita ketahui di zaman yang serba canggih dan maju ini ummat Islam telah merendahkan martabat Islam itu sendiri. Tidak perlu lagi dakyah dari agama lain kerana ummat Islam di era globalisasi kini telah pun merendah-rendahkan agama Islam dengan tindakan-tindakan yang tidak sepatutnya samada sedar mahupun secara tidak sedar. Sebagai contoh, kita sebagai ummat Islam telah menjadikan agama Islam itu umpama agama picisan sahaja di dalam kehidupan kita, tidak lagi kita mengguna pakai pensyariatan yang dibawakan oleh agama Islam sepenuhnya. Islam kini hanya menjadi sektor-sektor perundangan yang apabila perundangan tersebut berpihak kepada kita barulah kita gunakan ia jika tidak, dengan mudah sahaja kita mengenepikan Islam. Duhai saudaraku sekalian, di manakah sensitiviti dan kesungguhan anda dalam menggamalkan Islam sebagai wacana kehidupan?! Marilah kita sama-sama menulusuri perjalanan dakwah yang telah dilaksanakan sejak zaman berzaman agar kita mampu meletakkan Islam di dalam seluruh sudut kehidupan kita.


   Kita mulakan strategi dakwah Rasulullah SAW dan seluruh sahabat-sahabat baginda dengan membahagikan strategi ini kepada dua bahagian. Permulaannya kita cuba hayati strategi Rasulullah SAW ketika mana di Mekah dan seterusnya kita lihat pula strategi dakwah Rasulullah SAW ketika di Madinah. Umum sedia mengetahui bahawasanya ayat-ayat al-Quran yang diturunkan di Mekah kesemuanya meletakkan hala tuju ke arah mengEsakan Allah SWT. Tiadalah ayat hukum atau pensyariatan yang diketengahkan pada ketika itu. Dalam strategi pertama Rasulullah SAW untuk menyampaikan dakwah di Mekah adalah dengan mengajak seluruh ummat Mekah ke arah mengEsakan Allah, mentauhidkan Allah SWT, menyembah Allah SWT yang satu tiada dua dan tiganya, tidak beranak dan diperanakkan, DIA yang mencipta tetapi tidak diciptakan, DIA pemberi tetapi tidak meminta dan mengharap apa-apa dari makhluknya.

   Kenapa agaknya Rasulullah SAW meletakkan tauhid sebagai strategi permulaan dalam menyampaikan Islam?! yang utamanya adalah strategi tersebut merupakan perintah daripada Allah SWT. Jadi perlaksanaannya dilakukan oleh baginda Muhammad SAW sebagai pemegang mandat utusan tuhan. Menurut pengkajian seorang anak muda dari Pasadena, AS, Micheal David Shapiro yang memeluk Islam setelah mengetahui bahawasanya Islam itu membawa kepada keyakinan ( beriman ) dengan hanya wujudnya satu tuhan sekaligus meyakinkan beliau bahawasanya Islam itu adalah sebenar-benar agama. Jadi marilah kita lihat apakah kajian beliau terhadap tiga agama yang dikatakan datang dari satu sumber yang sama iaitu dari tuhan yang satu.

Yahudi :


( Percaya kepada satu tuhan, beberapa orang nabi dan 10 Rukun (Commandments) , Kitab Taurat dan Jiwa Yahudi.)



  " Jiwa yang Yahudi? Apabila saya mengkaji frasa ini, saya menemukan ayat yang menyebut; ‘Jika anda dilahirkan sebagai Yahudi maka anda mesti mempunyai jiwa seorang Yahudi dan mesti mematuhi segala keyahudian (Judaism) yang ada’. Kenyataan ini membuatkan saya sangat terkejut, tidakkah ini satu diskriminasi? ! Agama ini tidak bersifat universal. Jadi tuhan ciptakan Jiwa Yahudi, Jiwa Kristian dan Jiwa Islam? Setahu saya tuhan ciptakan manusia sama rata tanpa ada sebarang darjat yang memisahkan antara satu sama lain. Oleh kerana dia dilahirkan dalam sesuatu agama, maka tuhan meletakkan dekri yang dia mesti kekal pada sesuatu agama itu walaupun si penganut itu tahu ada sesuatu yang palsu mengenai agamanya itu, adakah itu maksudnya, Seperkara lagi persoalan mengenai neraka juga tidak dibincangkan secara serius dalam agama Yahudi. Jadi apa perlunya melakukan kebaikan, dan apa salahnya melakukan kejahatan? Jika saya tidak ditakutkan dengan hukuman yang tegas jadi apa perlunya saya mempunyai sikap dan moral yang baik."


Ini menyebabkan Micheal tidak dapat bersetuju dengan agama itu walaupun telah dilahirkan sebagai Yahudi.



Kristian :

( Triniti : Satu tuhan yang terdiri bapa tuhan, anak tuhan dan Ruhul Kudus. Nabi Isa a.s mati kerana dosa-dosa kesemua pengikutnya.)

" Pada mulanya, saya tidak bermasalah, tetapi apabila diulang kali membacanya, satu tuhan yang terdiri bapa tuhan, anak tuhan dan Ruhul Kudus, bagaimana ini dapat dijelaskan secara logik. Bagaimana ketiga-tiga unsur ini merupakan Tuhan yang Satu. 1+1+1=3, betul? Saya masih memberi peluang dengan mendapatkan sebanyak mungkin penerangan mengenai konsep Triniti ini, namun setelah banyak melakukan analogi sekali pun, konsep ini tidak dapat saya terima, akal saya tidak mampu untuk menerimanya."
    
Islam :

( Agama yang tidak menimbulkan konflik kepada logik akal )

" Saya tidak menghadapi masalah untuk memahami Islam. Tidak ada pada agama itu yang boleh menimbulkan konflik pada logik akal saya. Kitab suci al-Quran itu sendiri sangat menakjubkan dan begitu bersesuaian untuk semua zaman dan masa, seolah-olah seperti baru dikarang (diwahyukan) . Banyak bukti saintifik ditemui dari kitab itu sedangkan kitab itu ditemui sejak 1,400 tahun dahulu. Tetapi adakah agama ini bersifat sejagat, agama untuk semua tetapi yang lebih menghairankan Islam dinyatakan untuk semua tanpa memilih kaum, bangsa, warna kulit, bahasa dan asal usul manusia. Namun lebih menghairankan nama agama itu sendiri, iaitu Islam dinyatakan dengan banyak kali dalam al-Quran. Jadi benarlah Islam satu agama."

   Berdasarkan pengkajian yang dilakukan oleh anak muda dari Pasadena, AS, Micheal David Shapiro di atas dapatlah dibuktikan bahawa strategi awal yang dibawakan oleh Rasulullah SAW merupakan strategi yang paling utama dalam menyampaikan dakwah. Setiap jiwa manusia itu tersimpan di dalamnya satu keyakinan yang amat kuat yang menyatakan alam dan seluruh kehidupan ini hanya mempunyai satu tuhan atau satu penguasa yang mentadbir seluruh alam. Dengan menjalankan strategi utama iaitu mentauhidkan Allah SWT dakwah Rasulullah SAW ketika itu sampai ke dalam jiwa-jiwa manusia yang dipilih Allah sekaligus menjadikan jiwa-jiwa tersebut benar-benar telus dalam memperjuangkan agama Islam dan mempertahankan dakwah yang dibawa oleh baginda tanpa sedikit pun perasaan gentar dan berputus asa. Mengapa jiwa-jiwa tersebut tidak sekali pun berputus asa dan gentar dengan seluruh serangan musuh-musuh Allah pada ketika itu?! kerana mereka yakin sepenuhnya dengan janji Allah SWT yang disampaikan oleh baginda. Apabila yakin dengan Allah SWT maka akan mudahlah perlaksanaan strategi yang seterusnya.

   Mari kita sama-sama menghayati pula strategi seterusnya dalam penyusunan dakwah Rasulullah SAW semasa di Madinah. Strategi sterusnya merupakan perlaksanaan syariat Islam yang membawa kepada pembentukkan negara Islam yang mampu berdiri di atas tapak kaki sendiri. Di sebabkan sudah punya negara yang benar-benar bersistemkan Islam dan berjaya merawat jiwa-jiwa manusia yang menjadi warganyalah, Islam itu mampu tersebar melebihi 2/3 dunia dek kerana usaha dakwah yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan juga seluruh sahabat baginda. Untuk pemahaman yang lebih jelas tentang perlaksanaan strategi membawa manusia mentauhidkan Allah SWT dan juga sistem pensyariatan bolehlah seluruh pembaca membuka seluruh kitab sirah berkaitan perjuangan Rasulullah SAW dan para sahabat dalam menyampaikan Islam sejak mula baginda diberi mandat sebagai utusan Allah sehinggalah kepada kewafatan baginda beserta kewafatan para khalifah agung yang empat.







   Ulama' kontemporari juga telah menyusun pelbagai pendekatan dakwah dan pendekatan tersebut telah dibuktikan keberkesanannya kini. Antaranya Islam semakin menjadi perhatian dunia samada dari sudut pengkajian ilmiah sehinggalah kepada penggunaan sistemnya di dalam pelbagai bidang terutamanya perbankan. Apakah pendekatan itu dan bagaimanakah cara perlaksanaannya?! Mari sama-sama kita kupas satu persatu supaya mudah bagi kita untuk meneruskan usaha dakwah yang diwariskan kepada kita. Terdapatnya tiga wasilah asas yang dijadikan strategi utama dalam menyampaikan dakwah antaranya :

1. Manhaj yang benar
2. Pendukung yang beriman.
3. Pemimpin yang kuat dan dipercayai. 

   Penulis akan cuba mengupas satu persatu agar mudah difahami oleh pembaca sekalian. Kita mulakan dengan wasilah yang pertama :

1. Manhaj yang benar.

   Manhaj bermaksud prinsip atau pegangan. Manhaj di dalam Islam diambil daripada al-Quran, sunnah dan hukum-hukum Islam. Ulama' kontemporari mengambil pemahaman yang bersih, segar dan jauh daripada penerapan fahaman-fahaman yang lain terhadap al-Quran, sunnah dan hukum-hukum Islam. Strategi ini akan memudahkan anda sebagai ummat Islam mempelajari agama Islam dengan mudah, luas dan mencakupi segala aspek kehidupan. Jadikan apa yang ada di dalam al-Quran, sunnah dan hukum-hukum Islam itu sebagai cara hidup anda. InsyaAllah segalanya akan menjadi baik dan akan menguatkan jiwa anda untuk menyampaikan Islam pada yang lain

2. Pendukung yang beriman.

   Terapkan Islam yang kita ketahui dalam diri kita dengan penuh kesungguhan dan penuh keseriusan. Yakin dengan fikrah yang benar, tenang dengan tujuan dakwah anda, percaya kepada pertolongan Allah ke atas anda selama mana anda melakukan kebaikkan untukNya ( berdakwah / niat hanya kerana Allah ) dan pastikan segalanya berada di atas dasar petunjuk RasulNya.


3. Pemimpin yang kuat dan dipercayai.

   Bagi anda sebagai seorang lelaki anda merupakan seorang pemimpin, samada pemimpin dalam koloni yang kecil mahupun dalam halaman pemerintahan negara. Itulah tugas manusia yang bergelar lelaki. Jadi, seorang lelaki muslim itu wajiblah menjadikan Islam sebagai cara hidupnya dan mengamalkannya dengan penuh kesungguhan dan keseriusan supaya anda mampu untuk menjadi pemimpin yang kuat dan dipercayai samada dalam tampuk kepimpinan keluarga hinggalah kepada pemerintahan negara. Dalam masa yang sama, anda juga merupakan kader ( pengikut ), manusia semestinya menjadi ketua dalam masa yang sama dia juga merupakan seorang pengikut. Jadi, anda wajib taat setia kepada pemimpin anda ( berkaitan kerja dakwah ) dan bekerja dengan penuh iltizam dibawah kepimpinannya.

   Setelah anda semua mengetahui beberapa strategi dan pendekatan di dalam dakwah, bermula pada hari ini anda wajib memperkemaskan diri anda dengan tiga perkara, antaranya :

Pertama

   Memperbaiki diri sendiri, sehingga menjadi individu yang :

1. Kental fizikalnya. 

2. Teguh akhlaknya.

3. Berwawasan luas.

4. Mampu mencari kehidupan. 

5. Benar aqidahnya.

6. Penuh konsentrasi terhadap waktunya.

7. Tersusun urusannya.

8. Bermanfaat kepada orang lain.

Kedua :
 
   Mewujudkan rumah muslim dan keluarga muslimah yang komitmen. Menjadikan keluarga anda agar menghargai fikrah anda, menjaga etika Islam dalam setiap aktiviti kehidupan rumah tangga anda, memilih isteri yang baik dan menjelaskan kepadanya hak dan kewajibannya, mendidik anak-anak dan pembantu anda dengan didikan yang baik, serta membimbing mereka dengan prinsip-prinsip Islam.

Ketiga :

   Mewujudkan masyarakat muslim yang :

1. Kuat

2. Saling menyintai / mengasihi.

3. Saling mengutamakan.

4. Yang kuat membantu yang lemah.

5. Yang mampu, membantu individu yang memerlukan.

   Semua ini dapat dilakukan dengan cara :

1. Membimbing masyarakat tersebut dengan cara menyebarkan dakwah.

2. Memerangi perilaku yang kotor dan mungkar.

3. Menggalakkan perilaku yang baik ( amar ma'ruf ).

4. Bersegera melakukan kebaikkan.

5. Memberikan pemahaman yang umum untuk memahami fikrah Islamiah.

6. Menghiasi praktikal kehidupan dengan masyarakat secara kontinuiti.


   Begitulah pembawakan penulis terhadap beberapa strategi atau pendekatan dakwah dimana bagi penulis ianya merupakan strategi yang proaktif dan insyaAllah berkesan dalam menyampaikan dakwah. Terdapat pelbagai lagi strategi dakwah yang lebih matang dan lebih berkesan yang telah diaplikasikan oleh harakah Islamiah seperti gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir. Bolehlah pembaca semua mengkaji dan menghayati penyusunan yang dibawakan mereka dan insyaAllah anda semua akan semakin berminat dengan perjuangan dakwah seusai memahami pembawakan dan perjuangan mereka. Akhir kalam dari penulis, semoga penulisan pada kali ini dapat menyentuh jiwa-jiwa pembaca dan menyemarakkan api perjuangan dakwah yang tersimpan lama di dalam jiwa-jiwa pembaca selama ini. Yang baik semuanya datang daripada Allah SWT dan segala kesilapan semuanya datang dari diri penulis sendiri. Semoga anda semua menjadi penyampai Islam yang cemerlang dan diberkati Allah di atas usaha dakwah anda semua.

Wallahua'lam..


© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

4 comments:

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...