بسم الله الرحمن الرحيم
"Sesungguhnya mukmin itu bersaudara"
(Surah al-Hujuraat :10)
"Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya"
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Assalamualaikum. Alhamdulillah, selawat dan salam keatas junjungan kita Muhammad SAW dan buat para sahabat yang bersama baginda serta seluruh ahli keluarganya.
Isu yang ingin penulis ketengahkan pada hari ini adalah pengenalan ilmu yang berkaitan dengan tasawwuf. Dewasa ini, terdapat pelbagai golongan dan kumpulan yang cuba memporak-perandakan pengertian sebenar tasawwuf dan cuba menjadi hero dengan mengenengahkan isu-isu bid'ah. Dengan itu, penulis berasa sedikit terpanggil untuk menerangkan serba sedikit beberapa pengenalan berkaitan tasawwuf.
Sebelum diperkenalkan tasawwuf, mari kita tinjau dahulu beberapa poin penting berkaitan bid'ah yang sedang hangat diwacanakan beberapa kumpulan yang merasakan diri mereka benar serta gemar mengkafirkan atau menyalahkan kaum muslimin yang tidak sealiran dengan mereka.
Bid'ah dari segi bahasa bermaksud MEMULAKAN SESUATU ATAU MEREKA CIPTA SESUATU YANG BAHARU YANG TIDAK PERNAH WUJUD SEBELUMNYA. Bid'ah dari segi istilah pula terbahagi kepada dua pendapat :
1- Pendapat Golongan Pertama ( Bid'ah hasanah, Bid'ah dholalah )
"Bid'ah ialah segala amalan baharu yang dilakukan yang tidak didapati penyebutan dalilnya secara terang-terangan dan jelas dalam al-Quran dan hadis, sama ada ia berupa ibadat atau adat dan sama ada ia dicela atau tidak dicela di sisi syarak."
2- Pendapat Golongan Kedua ( Bid'ah dholalah )
"Bid'ah ialah semua amalan baru yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Setiap perlakuan bid'ah itu sesat dan setiap kesesatan itu akan ke neraka."
Penulis tidak akan bercerita panjang berkenaan bid'ah, cukuplah disini penulis berikan kesimpulan awal tentang bid'ah. Bid'ah jika tidak dibahagikan kepada dua iaitu dholalah ( sesat ) dan hasanah ( baik ) maka segala apa sahaja yang BAHARU pada masa ini akan dikira kesesatan dan semua manusia di zaman ini akan dihumban ke dalam api neraka. Amalan bid'ah yang jelas kesesatannya adalah apabila kita menokok tambah amalan tauqifi ( amalan yang telah ditetapkan seperti solat dll ) dan menyatakan penambahan tersebut adalah datangnya daripada Rasulullah SAW sedangkan tiada pendalilan dan hanya pendustaan. Selain daripada amalan tauqifi, jika tiada dalil pengharaman dan tidak melanggar atau mencemarkan syarak maka amalan tersebut tidak sesekali menjadi amalan yang akan mengakibatkan kita tercampak ke dalam api neraka. Istilah dan penggunaan bid'ah dholalah itu betul akan tetapi tidak tepat sekiranya tidak diiringi dengan bid'ah hasanah.
Berkaitan bid'ah, penulis berharap agar seluruh pembaca mampu menilai dengan akal yang sempurna, ilmu yang jernih dan pengamatan yang baik.
Kita beralih pula pada pengenalan ilmu Tasawwuf. Terdapat beberapa maksud tasawwuf dari segi bahasa antaranya :
1- Ia dikatakan diambil dari perkataan as-soufa (الصُّوْفَ) pendapat ini adalah pendapat yang paling tepat jika ditinjau dari sudut bahasa. Hal ini dikuatkan lagi dengan fenomena memakai baju bulu ini sebagai lambang kezuhudan. Seseorang yang digelar zuhud digelar sufi kerana kaitannya dengan pemakaian baju bulu sebagaimana seseorang digelar hawariyun kerana memakai hawari iaitu pakaian berwarna putih.
Para ulama' tidak bersetuju jika tasawwuf hanya dikaitkan dengan pakaian tetapi tidak mengamalkan hakikat zuhud dan tawaddu' yang sebenar.
2- Tasawwuf juga dikatakan diambil dari kata terbitan al-safa' (الصفاء) iaitu kebersihan jiwa daripada kekotoran dunia. Pendapat ini tidak kuat walaupun betul dan tepat jika dilihat dari segi bahasa.
3- Ia juga berasal dari perkataan al-Suffah (الصفة) iaitu satu tempat di belakang Masjid Nabawi yang disediakan oleh Rasulullah SAW khusus untuk orang fakir Muhajirin dan Ansar. Golongan sufi ini seolah-olah seperti mereka ( orang fakir di kalangan Muhajirin dan Ansar ) kerana berterusan beribadah kepada Allah SWT. Bagaimanapun pendapat ini amat bercanggah dari segi bahasa.
4- Tasawwuf juga turut dikaitkan dengan seorang lelaki pada zaman jahililyah yang bernama Sawafah yang sentiasa berada di Ka'bah untuk memberi khidmatnya kepada orang yang menunaikan haji.
Tasawwuf dari segi istilah pula ialah amalan dan mujahadah dari segi zahir dan batin yang bersambungan dengan syariat Islam, merukunkan kebaikkah akhlak islam, menanamkan kesungguhan beribadah dan berakidah di dalam setiap jiwa manusia, tujuannya adalah semata-mata mendekatkan diri kepada Allah dan tujuan akhirnya adalah bersambungan talian atau hubungan dengan Allah SWT.
Berikut merupakan pandangan ahli sufi berkaitan tasawwuf :
Ma'ruf al-Karkhi
"Tasawwuf ialah bergantung harap kepada Allah SWT dan tidak kepada makhluk."
Abu Turab al-Nakhsyabi
"Sufi ialah seseorang yang tidak dikotori sesuatu apapun malah bersih dari semua perkara."
Sahl bin Abdullah al-Tustari
"Sufi itu ialah seseorang yang bersih daripada maksiat, sentiasa berfikir dan berpegang teguh dengan Allah SWT, tidak kepada manusia. Oleh yang demikian, disisinya tidak ada apa-apa perbezaan antara emas dan lumpur."
Al-Jurairi
"Tasawwuf adalah berakhlak dengan akhlak yang tinggi dan meninggalkan perlakuan keji."
Al-Kattani
"Sesiapa yang membekalkan kamu dengan akhlaknya yang terpuji maka dia telah menambahkan kebersihan jiwa kamu."
Al-Nuri
"Tasawwuf itu bukan tulisan, bukan juga ilmu tetapi ia adalah akhlak. Jika tasawwuf itu tulisan, ia boleh diperolehi dengan latihan. Jika ia ilmu, ia boleh diperolehi dengan belajar. Namun, sebenarnya tasawwuf itu ialah berakhlak dengan akhlak Allah SWT ( akhlak terpuji ), dan seseorang itu sama sekali tidak dapat berakhlak dengan akhlak Allah SWT hanya melalui ilmu dan tulisan."
Ustaz Abu Ali al-Daqqaq
"Tasawwuf bermaksud suci dan bersih yang dipuji dengan segala lisan dan lawannya kekeruhan yang keji."
Samnun
"Tasawwuf ialah engkau merasai bahawa engkau tidak memiliki sesuatu pun du dynua ini dan engkau tidak dimiliki oleh sesiapapun dikalangan makhluk di dunia ini."
Al-Syibli
"Tasawwuf ialah mengabdikan diri kepada Allah SWT tanpa rasa keluh kesah."
Imam al-Ghazali
"Ahli tasawwuf ialah mereka yang berjalan pada jalan Allah SWT khususnya perjalanan mereka merupakan sebaik-baik perjalanan dan sebenar-benar jalan di samping akhlak mereka, setinggi-tinggi akhlak."
Begitulah permulaan perkenalan tasawwuf yang mampu dibawakan penulis setakat ini. Jadi, siapa pun golongan anda samada salafi, sufi, haraki dan sebagainya tidak perlulah bertelagah dan menegakkan bendera masing-masing sehingga berniat membakar dan menenggelamkan bendera golongan muslim lain. Beramallah dengan apa yang anda perolehi selagi mana ianya tiada larangan daripada Allah dan Rasul-Nya. Selagi mana tiada dalil pengharaman pada sesuatu amalan itu makanya ia tidak boleh dikira bid'ah dholalah ( sesat ). Jika sesuatu amalan itu bid'ah dholalah di AKAL dan HATI anda masih belum lagi dikira tepat melainkan jika ada pendalilan tetap tentang kesesatan amalan tersebut barulah boleh dikira sesat lagi menyesatkan.
Sekadar itu sahaja setakat ini, semoga apa yang disampaikan penulis mendatangkan faedah dan manfaat buat seluruh pembaca. Segala yang baik dan cantik itu datang daripada Pencipta alam ini, Allah Azzawajalla dan segala kecacatan dan keburukan itu datang daripada kelemahan penulis selaku hamba Allah yang lemah.
Wallahu wa Rasuluhu a'lam...
***
1- Bahjah al-Nufus Syarh Taj al-Arus al-Hawi Litahzib al-Nufus - Ibnu Ataillah al-Sakandari
Tahqiq : Dr. Zulkiflo bin Mohamad al-Bakri
2- Tasawwuf Islami - Dr Azmi Toha Said Ahmad
3- Ensiklopedia Bidaah - Mohammad Subki Abdul Rahman al-Hafiz dan Mohd Rifqi Myiddin
0 comments:
Post a Comment
Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.