27 January 2013

Wajah Allah

بسم الله الرحمن الرحيم

Kehidupan merupakan satu fenomena alam yang tidak terjangkau pemikiran serta pemerhatian terhadapnya. Dari segenap pengkajian serta penghayatan, kehidupan merupakan satu fenomena yang tidak terungkai jawapannya dari segala jenis persoalan yang bermain difikiran. Kesempurnaan sering dikaitkan dalam kehidupan. Manusia, suatu benda hidup yang amat menginginkan kesempurnaan di dalam kehidupan. Kesempurnaan yang diidamkan sama sekali tidak akan tercapai kerana yang empunya kehidupan sahaja punya kesempurnaan.

   Kehadiran manusia di muka bumi ini adalah satu anugerah dari pencipta. Pemberian anugerah kepada anugerah apabila manusia diberikan mandat di muka bumi ini untuk menjadi wakil pencipta mentadbir sfera. Kedapatan manusia di muka bumi pada hakikatnya adalah menjadi ejen pemusnah bumi yang terbaik sekaligus menjadikan sfera kepada segitiga. Akibat dari keinginan mendapatkan kesempurnaan, kerakusan menjadi tonggak dalam pengubahsuaian sfera kepada segi tiga. Inilah yang dipersoalkan malaikat yang bersifat garis lurus di era awal penciptaan manusia.



   Sempurna, satu istilah yang acap kali diperjuangkan manusia sejak mula pandai berfikir sehinggalah berhenti pada satu kejadian yang dinamakan mati. Makanya, adakah kehidupan itu sekadar bermula dengan kelahiran dan akhirnya disudahi dengan kematian? atau kematian itu merupakan satu kelahiran yang baru? atau apabila matinya seseorang itu barulah dia mendapatkan kesempurnaan yang diidamkan? Manusia terus mencari dan menggali kesempurnaan walaupun pada hemat dan pengetahuannya mendapati tiada kesempurnaan yang mampu dikecapi walau digali sedalam tujuh lapisan bumi. Namun, hemat dan pengetahuan itu tidak sama sekali menyedarkan manusia yang punya keinginan terhadap kesempurnaan.

   Manusia merasakan kehidupan memerlukan kesempurnaan agar diri yang empunya gelaran manusia menjadi terhebat dikalangan empunya gelaran yang lain. Maka terjadilah apa yang dibimbangi malaikat di awal era penciptaan manusia iaitu pengubahsuaian sfera kepada segi tiga. Kebimbangan malaikat itu akan terlerai sekiranya manusia diciptakan dengan sifat garis lurus. Ya! Sememangnya manusia itu pada asalnya diciptakan dengan bersifatkan garis lurus. Lihat sahaja ketika mana ditanya pencipta tentang status manusia sebelum dihantarkan ke bumi. Manusia tanpa sedikit keraguan mengaku diri sebagai hamba dan mengiktiraf pencipta sebagai TUAN. Jadi, mengapakah setelah tiba di muka bumi yang berbentuk sfera ini manusia ingin mengubahnya sehingga menjadi segi tiga? Adakah disebabkan mengejar kesempurnaan atau dipandu ke arah kesempurnaan?

   Selain manusia, pencipta turut jua menghidupkan satu makhluk yang begitu angkuh dengan dirinya. Lebih angkuh berbanding Azazil yang tidak mahu meletakkan dahinya ke tanah dihadapan manusia pertama. Lebih angkuh daripada Firaun yang mengaku tuhan dan Qarun yang berharta. Ketika mana ditanya pencipta siapa aku dan siapa engkau, dijawabnya aku adalah aku dan engkau adalah engkau.Akibat dari keangkuhannya maka terhumbanlah diri makhluk tersebut ke dalam lembah yang menyakitkan. Makhluk itu dimamah sang makhluk yang lain dengan begitu dahsyat. Makhluk tersebut digelar api, istilah dan lambang penyiksaan kepada makhluk yang mencabar pencipta. Setelah diangkat dari lembah yang dahsyat, jawapan sama tetap terpacul keluar dari dirinya sehinggalah selepas kali ketiga barulah makhluk itu mengaku bahawa dirinya hamba dan pencipta itu TUAN. Nafsu, itulah nama kepada makhluk yang paling angkuh dikalangan seluruh makhluk.

   Nafsu turut serta di dalam penciptaan manusia. Manunggang para wakil pencipta di muka bumi ini merupakan tugas utama bagi makhluk angkuh. Pengakuan hamba dihadapan pencipta tidak sama sekali menyebabkan makhluk angkuh itu terus taat dengan perintah pencipta. Ketaatan makhluk angkuh ini bergantung kepada wakil pencipta itu sendiri, samada membenarkan dirinya dipandu oleh makhluk angkuh atau memilih untuk memandu makhluk tersebut. Jadi, akibat dipandulah yang menyebabkan berlakunya pengubahsuaian sfera kepada segi tiga, kerakusan bermaharaja lela, hemat serta pengamatan dianak tirikan dan segala tindakkan wakil pencipta menjadi kemurkaan empunya kehidupan. Maka, bagaimanakah caranya agar tidak berlaku pengubahsuaian terhadap sfera? Siapakah pula yang akan menundukkan makhluk angkuh penyebab kemurkaan empunya kehidupan ini?

   Sang taat, dijelmakan pencipta ke dalam kehidupan. Kehadirannya menyirnakan jiwa wakil pencipta dan mendatangkan kemurungan bagi makhluk angkuh. Tiada dapat bermaharaja lela lagi makhluk angkuh setelah munculnya sang taat. Anugerah terbesar juga akan diperolehi wakil pencipta jika sang taat ini dijadikan sahabat akrabnya hingga akhir kehidupan. Namun tidak semua wakil pencipta mampu bersahabat dengan sang taat melainkan telah benar-benar yakin di dalam hati bahawa pencipta itu TUAN, mengaku dengan lisan dan bertindak bagi membuktikan keyakinan yang ada pada wakil pencipta itu. Setelah tiga proses itu berlaku barulah wakil pencipta mampu bersahabat dengan sang taat dan melenyapkan kebimbangan malaikat yang bersifat garis lurus. Itulah Iman, nama asal sang taat yang menyirnakan jiwa wakil pencipta dan mendatangkan kemurungan bagi makhluk angkuh.

   Kehidupan punya garis penamat. Apabila tiba suatu masa, pencipta melenyapkan kehidupan buat seketika. Segalanya lenyap, yang tinggal kekal hanyalah pencipta. Setelah lenyap segalanya, empunya kehidupan menciptakannya kembali. Apabila penciptaan semula kehidupan berlaku, barulah hadir kesempurnaan dalam kehidupan. Kesempurnaan tersebut pula hanya mampu dikecapi oleh wakil pencipta yang bersahabat dengan sang taat. Akhirnya, terlerailah kebimbangan malaikat yang bersifat garis lurus, terungkailah persoalan tentang kehidupan dan dapatlah wakil pencipta merasai kesempurnaan yang tiada pada kehidupan pertama. Kesempurnaan tersebut bukanlah syurga akan tetapi nikmat yang tidak terhingga apabila wajah wakil pencipta dibenarkan empunya kehidupan untuk diangkat bagi melihat wajahNya. Allah, satu-satunya nama bagi pencipta dan wajahNya adalah kesempurnaan yang hanya akan didapati manusia setelah dijelmakan semula di dalam kehidupan kedua. Wajah Allah, itulah kesempurnaan yang wajib diidamkan seluruh wakil pencipta di kehidupan pertama.

Wallahu wa Rasuluhu a’lam.





© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...