18 July 2012

Hakikat Zikir (2)




Zikir Menurut Al-Quran





   Sesiapa yang memerhatikan ayat-ayat yang menyebut الذِّكْرُ dalam al-Quran nescaya akan mendapati ianya banyak disebut. Ayat-ayat tersebut menggesa serta menuntut dalam semua keadaan supaya sentiasa menggunakan zikrullah ini sebagai pakej perawatan kerohanian tanpa sekatan atau syarat. Seperti yang kita maklum, semua ibadat yang bersifat amali yang diperintahkan oleh Allah SWT, ia terikat dengan syarat-syarat tertentu, masa yang menentukan sah atau tidaknya atau tertegahnya sesuatu amal itu. Hal ini tidak berlaku kepada zikrullah! Bahkan ia dituntut supaya dilakukan pada setiap waktu, suasana dan realiti, walaupun ketika ingin meniduri isteri atau memasuki tandas.

   Disana banyak terdapat ayat al-Quran yang menjelaskan tentang kedudukan zikrullah, galakan melakukannya serta peringatan Allah SWT kepada mereka yang lalai dan yang menentang suruhan supaya berzikir. Berikut ini akan dijelaskan tentang ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan secara umum supaya berzikir dan ayat yang memerintahkan berzikir secara bersyarat. Antara firman Allah SWT :

Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman,  ( untuk bersyukur kepada Allah ) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. (41) Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang. (42) Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikatNya pula ( berdoa bagi kamu ), untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita ( kufur dan maksiat ) kepada cahaya yang terang benderang ( iman dari taat ) dan adalah Dia sentiasa Melimpah-limpah rahmatnya kepada orang-orang yang beriman ( di dunia dan di akhirat ). (43)"
( Al-Ahzab : 41-43 )

Ibnu Kathir menyebut dalam kitab tafsirnya bahawa maksud الصلاة ( selawat ) dalam ayat tersebut ialah pujian Allah SWT kepada para hambaNya di sisi para malaikat. Hal ini disebut oleh Imam al-Bukhari daripada Abu al-'Aliyah. Ada yang berpendapat, الصلاة daripada Allah SWT bermaksud rahmat. Ada pun الصلاة daripada para malaikat bermaksud doa dan istighfar untuk manusia. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firmanNya :

Yang bermaksud : " untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita ( kufur dan maksiat ) kepada cahaya yang terang benderang ( iman dari taat ). (43)"
( Al-Ahzab : 43 )



   Hal itu semua adalah disebabkan rahmat Allah SWT berserta pujianNya dan doa para malaikatNya ke atasMu akan mengeluarkan kamu daripada kegelapan, kejahilan dan kesesatan kepada cahaya hidayah dan keyakinan. Firman Allah SWT :

Yang bermaksud : " ... dan ingatlah kepada TuhanMu ( dengan berzikir ) banyak-banyak dan bertasbihlah memuji Allah ( dengan mengerjakan sembahyang ), pada waktu malam dan pada waktu pagi. (41)"
( Ali Imran : 43 )

( Tamat ulasan Ibnu Kathir )

FirmanNya yang lain :

Yang bermaksud : "Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut ( melanggar perintahNya ) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang yang lalai. (205)"
( Al-'Araf : 205 )

   Tuntutan merendah diri serta perasaan takut dan tidak menyaringkan suara dalam ayat tersebut bermaksud, pertama, dalam keadaan sir ( rahsia ) dan dengan hatimu. Kedua, menyebut dengan lisan sehingga kedengaran oleh telinga. Kemudian, Allah SWT melarang daripada wujudnya sifat yang bertentangan dengan zikir itu dengan firmanNya :

Yang bermaksud : "dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. (205)"
( Al-'Araf : 205 )

   Hal ini adalah kerana dengan zikir itu akan menyelamatkan kita daripada الغَفْلَةُ iaitu lalai dan النِّسْيَانُ iaitu lupa. Perbezaannya ialah 'Ghaflah' lalai dengan sengaja sedangkan 'Nisyan' lupa tanpa disengajakan. Oleh kerana itu Allah SWT menyebut dalam firmanNya : 

Yang bermaksud : " dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai. (205)" 
( Al-'Araf : 205 ) 

Allah SWT tidak menyebut dalam firmanNya dengan perkataa النَّاسِيْنَ akan tetapi Allah SWT menyebutnya dengan perkataan َالغَافِلِيْن. Perkataan النِّسْيَانُ bererti lupa yang pelakunya tidak dituntut sebagai satu taklif iaitu pertanggungjawaban serta tidak dicela oleh syara'. Oleh kerana itu Rasulullah SAW bersabda :

Yang bermaksud : " umatku tidak didakwa apabila melakukan sesuatu dalam keadaan silap dan lupa .."
( Riwayat Ibnu Majah )











   Kemudian Allah SWT menjelaskan antara sebab tercapainya kejayaan itu ialah dengan banyak berzikir serta berterusan tanpa menoleh kepada banyaknya bilangan dan masa, firmanNya :

Yang bermaksud : "serta ingatlah akan Allah banyak-banyak ( dalam segala keadaan ), supaya kamu berjaya ( dunia dan akhirat ). (10)" 
( Al-Jumua'h : 10 ) 

   Dari sudut yang lain Allah SWT memuji orang-orang yang berzikir. Dia menyediakan untuk mereka ganjaran serta keampunan. Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran susunan amal soleh itu dengan tingkatan demi tingkatan sehingga kemuncak kepada amal soleh itu ialah zikir. Firman Allah SWT : 

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri ( kepada Allah ) serta orang-orang perempuan yang merendah diri ( kepada Allah ) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah akan menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (35)"
( Al-Ahzab : 35 )

   Allah SWT juga menyatakan tentang kerugian orang-orang yang leka dengan kehidupan dunia serta meninggalkan zikrullah bahawa syaitan akan menjadi teman karib mereka. Di samping itu, mereka akan tersesat jauh. Firman Allah SWT :

Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh ( urusan ) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah ( dengan menjalankan perintahNya ). Dan ( ingatlah ), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. (9)"
( Al-Munafiquun : 9 )

Seterusnya Allah SWT menjelaskan dalam firmanNya :

Yang bermaksud : " Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran ( Al-Quran yang diturunkan oleh Allah ) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan ( yang menghasut dan menyesatkannya ), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya. (36) Dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu tetapi menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (37) Sehingga apabila dia ( yang terjerumus dalam kesesatan itu ) datang kepada Kami ( pada hari kiamat ), berkatalah dia ( kepada Syaitannya ) : Alangkah baiknya ( kalau di dunia dahulu ada sekatan memisahkan ) anataraku denganmu sejauh timur dengan barat ! Kerana ( engkau ) adalah sejahat-jahat teman. (38) ( Lalu dikatakan kepada mereka ) : pada hari ini setelah nyata bahawa kamu telah menganiaya diri sendiri, ( maka apa yang kamu cita-citakan itu ) tidak sekali-kali akan memberi faedah kepada kamu itu tetap menderita bersama-sama di dalam azab. (39)"
( Al-Zukruf : 36-39 )

   Allah SWT juga menyatakan larangan kerasNya, bersahabat serta bercampur-gaul dengan mereka yang lalai daripada berzikir dan yang hidup bergelumang dengan nafsu. Firman Allah SWT :

Yang bermaksud : "dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran. (28)"
( Al-Kahfi : 28 )

   Begitu juga Allah SWT memberi amaran bahawa orang yang meninggalkan zikrullah akan ditimpa penyakit keras hati dan lalai. Firman Allah SWT :

Yang bermaksud : "Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. (124) "
( Thaha : 124 )

FirmanNya lagi :

Yang bermaksud : "Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya ( hidayat petunjuk ) dari Tuhannya, ( sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan ) ? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. (22)"
( Al-Zumar : 22 )












   Ibnu Kathir menafsirkan ayat tersebut, katanya, " Hati mereka tidak menjadi lembut, bahkan tidak khusyu' serta tidak memahami dan menyedarinya."

    Dalam pengertian yang lain, Allah SWT menyifatkan orang-orang munafiq itu sangat sedikit mengingatiNya dan hati mereka membenci serta menjauhi zikrullah.

FirmanNya :

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang munafiq itu melakukan tipu daya ( terhadap agama ) Allah ( dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya ) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka ( dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafiq ). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka ( hanya bertujuan ) riak ( memperlihatkan sembahyangnya ) kepada manusia ( supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman ) dan mereka pula tidak mengingati Allah ( dengan mengerjakan sembahyang ) melainkan sedikit sekali ( jarang-jarang ). (142)"
( Al-Nisa' : 142 )

FirmanNya lagi : 

Yang bermaksud : "Dan ( diantara keburukan orang-orang yang melakukan syirik ) : Apabila disebut nama Allah semata-mata ( di dalam doa dan sebagainya ), segan serta liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat dan apabila disebut nama-nama yang mereka sembah dan puja yang lain dari Allah, mereka dengan serta-merta riang dan gembira. (45)"
( Al-Zumar : 45 )

   Oleh kerana itu Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa Dia telah menetapkan sesiapa yang melaksanakan zikrullah maka mereka akan mendapat ganjaran. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu ( dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu ), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikkan dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur ( akan nikmatKu ). (152)"
( Al-Baqarah : 152 )

   Allah SWT telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa zikrullah itu membawa pengertian yang besar. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Bacalah serta ikutlah ( wahai Muhammad ) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Quran dan dirikanlah sembahyang ( dengan tekun ), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar ( faedahnya dan kesannya ) dan ( ingatlah ) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (45)"
( Al-'Ankabut : 45 )











   Terdapat tiga pendapat ahli tafsir terhadap ayat ini :

Pertama : kebesaran zikrullah itu mengatasi segala kebesaran yang lain. Ia adalah merupakan amal ketaatan yang paling afdhal berbanding dengan amal-amal yang lain. Hal ini adalah kerana, maksud seluruh amal ketaatan itu ialah untuk menegakkan makna zikrullah. Jadi, zikrullah itu adalah rahsia dan ruh kepada segala amal ketaatan.

Kedua : Apabila kamu berzikir mengingati Allah SWT maka Allah SWT akan mengingati kamu. Apabila Dia mengingati dan menyebut namamu maka itu adalah lebih hebat daripada zikir kamu kepadaNya.

Ketiga : Peringatan ayat, "Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar ( faedah dan kesannya ) " bermaksud sebesar mana sekalipun perkara keji dan mungkar itu, ia tidak akan mampu bertahan. Lantas, apabila zikrullah itu dilakukan dengan sempurna ia akan mengikis serta mencairkan segala dosa dan maksiat.

   Ibnu Taimiyyah r.h.m pula berpendapat : "Ayat tersebut memberi pengertian bahawa, dalam ibadat solat itu menghasilkan dua faedah yang sangat besar, pertama, ia mencegah daripada berlakunya kemungkaran. Kedua, hakikat solat itu meliputi makna zikrullah. Apabila pengertian zikrullah itu sudah terkandung dalam solat maka hakikat itu lebih hebat daripada qudrat solat itu sendiri yang mampu mencegah mungkar dan perkara keji."

   Allah SWT telah menjadikan al-Zikr sebagai penutup dan pembuka kepada setiap amal soleh. Sebagai contoh, penyudah ibadat puasa disebut di dalam al-Quran dengan menonjolkan hakikat zikr. FirmanNya :

Yang bermaksud : "dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa ( sebulan Ramadhan ) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur. (185)"
( Al-Baqarah : 185 )

Di samping itu ayat al-Quran menyebut kalimah al-Zikr sebagai penutup kepada ibadat haji. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah ( dengan membesarkanNya ) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut ( memuji-muji ) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi. (200)"
( Al-Baqarah : 200 )

   Seterusnya, al-Quran menyebut kalimah al-Zikr sebagai penutup kepada ibadat solat. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi ( untuk menjalankan urusan masing-masing ) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak ( dalam segala keadaan ), supaya kamu berjaya ( di dunia dan di akhirat ). (10)"
( Al-Jumu'ah : 10 )

   Kemudian, Allah SWT menyebut tentang ahli al-Quran mendapat manfaat yang sangat besar daripada ayat-ayatNya. Mereka adalah golongan yang khusus mendapat jolokan nama daripada Allah SWT sebagai Ulul Albab. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda ( kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah ) bagi orang-orang yang berakal. (190) ( iaitu ) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi. (191)"
( Ali 'Imran : 190-191 )

   Selain daripada itu, Allah SWT menjadikan zikrullah itu sebagai gandingan yang tidak bercerai-tanggal dengan amal soleh. Apabila hakikat zikrullah itu tidak wujud dalam setiap amal maka amal tersebut ibarat jasad yang tidak bernyawa. Lantas Allah SWT menggandingkannya dengan ibadat solat. FirmanNya :

Yang bermaksud : "dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (14)"
( Thaha : 14 )

   Bahkan Allah menggandingkan hakikat zikrullah itu dengan ibadat puasa, haji dan segala yang berkaitan dengannya. Bererti zikrullah itu adalah intipati atau ruh kepada ibadat haji tersebut. Hakikat inilah yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadith :

Yang bermaksud : "Sesungguhnya dijadikan tawaf, Sa'ie antara Sofa dan Marwah dan melontar jamrah adalah untuk menjelmakan hakikat zikrullah."











   Selain daripada itu, Allah SWT menjadikan zikrullah sebagai gandingan kepada Jihad Fi Sabilillah dan apabila bertemu dengan musuh serta apabila menentang mereka di medan jihad. Bahkan Allah SWT menegaskan bahawa zikrullah itu adalah antara asas-asas yang menjamin kemenangan ketika menentang musuh. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan ( musuh ) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya dan sebutlah serta ingatilah Allah ( dengan doa ) banyak-banyak, supaya kamu berjaya ( mencapai kemenangan ). (45)"
( Al-Anfal : 45 )

   Dalam Athar Ilahi disebut, Allah SWT berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya setiap hambaKu akan mengingatiKu ketika ia bertembung menentang musuhnya."

   Seterusnya Allah SWT menjelaskan bahawa zikrullah akan membekas serta menguasai jiwa para mukmin lagi siddiq. Lantas, lahirlah jiwa yang lemah-lembut serta penuh ketenangan. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ( yang sempurna imannya ) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah ( dan sifat-sifatNya ) gementarlah hati mereka. (2)"
( Al-Anfal : 2 )

FirmanNya lagi :

Yang bermaksud : "( iaitu ) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia. (28)"
( Al-Ra'ad : 28 )

Firman Allah SWT yang seterusnya :

Yang bermaksud : "Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu Kitab Suci al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain ( tentang benarnya dan indahnya ), yang berulang-ulang ( keterangannya, dengan berbagai cara ) ; yang ( oleh kerana mendengarnya atau membacanya ) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah. Kitab Suci itulah hidayat petunjuk Allah; Allah memberi hidayat petunjuk dengan al-Quran itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya ( menurut undang-undang peraturanNya ) dan ( ingatlah ) sesiapa yang disesatkan Allah ( disebabkan pilihannya yang salah ), maka tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi hidayat petunjuk kepadanya. (23)"
( Al- Zumar : 23 ) 

   Kemudian Allah SWT menegaskan bahawa orang yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola serta berasa bangga dengannya serta mendapat faedah daripada hidayah yang dibawa oleh Baginda SAW ialah daripada mereka yang banyak berzikir. FirmanNya :

Yang bermaksud : "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah dan ( balasan baik ) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang ). (21)"
( Al-Ahzab : 21 )

   Di samping itu, kecenderungan seseorang dalam melaksanakan usaha penyucian jiwa, memperbanyak zikrullah serta sentiasa memelihara solat-solat fardhu tidak lain dan tidak bukan adalah kerana mengharapkan kejayaan yang akan tercapai di penghujungnya. Firman Allah SWT :

Yang bermaksud : " Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya ( dengan taat dan amal yang soleh ) . (14) Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang ( dengan khusyuk ). (15)"
( Al-A'la : 14-15 )

   Akhirnya Allah SWT juga menuntut agar setiap mukmin itu menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan lafaz لا إله إلا الله . Sesiapa yang berbuat demikian akan masuk syurga.





Zikir Menurut Al-Sunnah





Bersambung... 




© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...