07 November 2012

Mudahnya Jalan Pabila Allah DiUtamakan


   "... wasallAllahu 'ala saiyidina Muhammad wa 'ala alihi wasohbihi ajmain, wal hamdulillahi rabbil 'alamin. Amin." 

   Hamzah menyapu kedua tapak tangannya ke muka tanda selesai kalimah doa yang dilafazkannya di pagi hari yang hening. Pagi itu Hamzah berjaya menunaikan solat subuh tepat pada waktunya dan begitulah kehidupan beribadahnya setiap hari. Hamzah sering berusaha untuk melaksanakan kewajipan solatnya tepat diawal waktu.

    Setelah selesai ibadahnya dipagi itu, Hamzah merehatkan diri sebentar diatas katilnya sambil menghirup udara pagi yang segar dan nyaman. Sedang leka menikmati ketenangan pagi, benak pemikirannya telah disapa imbasan visual berbentuk khayalan. 

    " Erm, umur ku tahun nie genap 27 tahun, rasanya molek benarlah aku berumah-tangga. Tapi ... dengan siapa pula. Sebelum ni banyak kali dah perempuan yang aku usulkan pada mak dan ayah aku, semuanya ditolak. Apalah nasib aku ni?" monolog Hamzah sendirian ketika jasadnya sedang berehat menikmati keselesaan tilam Posturepedic Palatial Crest berjenama Sealy yang baru dibelinya dua bulan lepas.

   " Aku nak cari calon isteri yang muslimah, sopan orangnya, bertudung labuh, manis wajahnya dan yang paling penting sekali ada lesung pipit. Fuh ! Memang terbaik dari ladang la. Masa akad nikah nanti aku nak... " Hamzah terus leka melakarkan alam khayalan ciptaannya yang semestinya belum pasti terjadi di alam realiti.
   
   Sebelum ini Hamzah telah galak kali mengusulkan wanita-wanita idamannya kepada kedua ibu bapanya untuk dijadikan calon isteri namun tiada seorang pun diantara mereka yang mendapat restu dari kedua ibu bapanya. Sejak dari itu Hamzah sangat gemar berkhayal untuk memujuk hatinya yang kesunyian berseorangan tanpa teman.

   Visual tayangan khayalan benak fikiran Hamzah terus dimainkan secara tidak sedar oleh jiwa Hamzah yang sedang mabuk dilanda perasaan ingin berpasangan. Pelbagai lakaran epilog menarik yang ditayangkan membuatkan Hamzah terus leka diulit ilusi kehendaknya sendiri. Sedang Hamzah leka diulit khayalan tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi tanda pesanan ringkas melalui whatsApp telah pun diterima.

   Pantas sahaja lamunannya terhenti dan dengan segera Hamzah mencapai telefon bimbitnya sekaligus membaca pesanan ringkas yang baru sahaja diterimanya.

   " Oouh, ade whats app gak ke?" kata pesanan ringkas tersebut yang tertera padanya nama Ariefah.

   " Ada juga." balas Hamzah ringkas dan bersahaja.

   " Tengah buat apa tu?" sapa Ariefah meneruskan bicara.

   " Huhu, tak buat apa pun. Baru lepas mengelamun je tadi." balas Hamzah dengan niat bercanda.

   " Kenapa sebelum ni tak pernah nampak pun awak dekat kafe? Hari ni baru ternampak." soal Ariefah.

   " Nak buat macam mana, takde rezeki nak terserempak." balas Hamzah bersahaja. 

   " A'ah betul juga kan." Ariefah bersetuju dengan jawapan Hamzah.

  Ketika sedang sibuk melayan perbualan di Whats App dengan tidak disengajakan Hamzah terfikirkan niatnya yang ingin berumah tangga. 

   " Ariefah ni baik orangnya. Perwatakkannya pun menyenangkan hati aku. Mungkin boleh aku cuba melamarnya hari ni. Mana la tau andai lamaranku diterima, boleh la cepat aku mendirikan rumah tangga." Monolog Hamzah sendirian dihadapan telefon bimbitnya.

   " Ariefah, ayah saya penah pesan pada saya, katanya dia suruh saya cari menantu orang utara. Setuju tak kiranya diri Ariefah saya usulkan pada ayah saya?" Hamzah bermuqaddimah membuka pintu lamaran.
   " Awak boleh tak jangan buat gurau benda-benda sensitif macam ni?" bentak Ariefah akibat terkejut dengan lamaran Hamzah yang dianggapnya satu gurauan.

   " Saya tak berguraulah. Saya betul-betul serius ni. Ariefah jawap la dulu lamaran saya tu. Hanya perlu berikan jawapan setuju ataupun tidak. Itu sahaja." Hamzah terus mencuba untuk kali kedua.
   " Entahlah, saya rasa ini satu ujian ataupun satu provokasi." teka Ariefah untuk mendapatkan lebih kepastian dengan kejutan yang tidak semena-mena hadir tanpa diduga.

   " Apa yang saya harapkan dari awak pada masa ni hanyalah dua jawapan sahaja. Setuju ataupun tidak? Saya betul-betul serius ni." Hamzah terus mencuba.

   " Saya tak tahu nak jawap apa, kita wajib istikharah dulu ni." Ariefah cuba memberi solusi yang lebih bernas.

   " Beri jawapan dulu, after that kita sama-sama istikharah."

   " Astaghfirullahalazim.. Betul ke ni?" lafaz istighfar dilantunkan Ariefah mohon kekuatan untuk menghadapi kejutan yang mendadak terhadap dirinya.

   " Sebelum diri Ariefah saya usulkan kepada ayah saya, kita istikharahlah dulu. Bolehkan? Ariefah setuju?" Hamzah cuba menenangkan keadaan.

   " InsyaAllah, ya, tapi saya tak berharap." Ariefah menjawab dalam nada yang sedikit ego agar dirinya tidak dianggap sebagai seorang wanita yang senang dipengaruhi oleh kata-kata lelaki.

   Hamzah tersenyum lebar tatkala melihat jawapan Ariefah di paparan skrin telefon bimbitnya. Jawapan yang dirasakan telah membuka peluang buat dirinya untuk melunaskan hasrat yang diidamkannya iaitu berumah tangga. Kegembiraan di dalam hatinya jelas terpancar dek senyumannya yang melebar umpama orang kemabukkan pil khayal. Lalu Hamzah pun meneruskan bicaranya.

   " Esok hari isnin kan? Kita sahur pagi nanti, lepas tu mlm besok kita bangun tahajjud sama-sama dalam area pukul tiga pagi. Sebelum kita solat istikharah kita buat solat sunat yang lima dulu. Solat sunat wuduk, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat tahajjud dan solat sunat witir. Sebelum kita solat sunat witir, kita solat sunat istikharah dulu. Bole ye Ariefah?" terang Hamzah panjang lebar berkenaan panduan solat di malam hari demi menggapai redha tuhan dalam langkah membina mahligai barakah. 

   " Boleh." balas Ariefah ringkas tanda memahami segala isi panduan yang dipaparkan Hamzah.
   Sejak dari perbualan itu mereka berterusan melaksanakan segala ibadah tersebut selama empat minggu pada setiap hari isnin dan khamis. Seusai berpuasa disiang hari mereka memenuhi ibadah sunat pula di sepertiga malamnya. Segalanya dilaksanakan dengan tenang demi mendapatkan panduan dari Tuhan tentang pancaran kebenaran dari segala perkara yang sedang mereka rancangkan.

   Pada hari khamis minggu keempat, Hamzah mengusulkan diri Ariefah kepada kedua ibu bapanya. Keluarga Hamzah bersetuju tanpa banyak soalan yang diajukan kepada Hamzah. Hanya soalan berkenaan latar belakang bakal menantu mereka sahaja yang diutarakan kepada Hamzah. Hamzah lega dengan persetujuan kedua ibu bapanya itu dan Hamzah amat bersyukur kerana Allah mempermudahkan urusannya. Bagi Hamzah mungkin itulah jawapan Allah terhadap istikharahnya.

   Begitu jualah keadaan Ariefah. Segalanya berjalan lancar tanpa ada sebarang bantahan dari kedua ibu bapanya. Sejak melakukan ibadah sunat sebagai penyeri ibadah wajib, hati Ariefah sentiasa dalam keadaan tenang dan ceria. Bagi Ariefah pula, mungkin inilah petunjuk Tuhan bagi memaparkan jawapanNya kepada permintaan makhluk. Mudahnya Jalan Apabila Allah di dahulukan.




p/s : Jadi kepada sesiapa yang betul-betul nak berpasangan dahulukanlah Allah dulu yer. InsyaAllah segalanya akan berjalan dengan lancar. Penulis insyaAllah sedang melangkah untuk menyempurnakan sunnah Rasulullah yang merupakan naluri fitrah manusia sejagat. Kepada yang dah berumah tangga Barakallahulakuma penulis ucapkan. Kepada yang baru merancang itu penulis doakan semoga perancangannya diberkat Allah dan dipermudahkan jalan olehNya. Syukran atas kesudian membaca cerpen yang tidak seberapa ini. Moga ianya bermanfaat buat semua. Waasalam. (^_^) 
   

© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...