11 December 2012

Kelibat Subuh


   Aku terjaga dari lena yang diulit mimpi pelbagai sejak semalam. Kedinginan subuh yang mencengkam seluruh tubuhku membuatkan liang romaku tertutup rapat mengekang hawa badan dari tersebar keluar. Sesekali tubuhku menggigil kesejukkan disapa suhu yang hampir memcecah puncak negatif.

   Diriku sudah terjaga namun mataku terus meronta meminta lena. Jiwaku terus gagah berusaha menggesa diriku untuk bangun menyuci diri bagi menghadap Ilahi. Berjalan lemah kerana dibaluti perasaan malas yang membuak-buak mengakibatkan kakiku melangkah lemah longlai menuju ke bilik mandi.

   Sedang aku melangkah keluar dari kamar pertapaanku, terasa ada kelibat yang sedang memerhatikan aku. Perasaan curiga, cemas dan berjaga-jaga yang tiba-tiba menerjah ketika itu mengakibatkan hatiku ditimpa kegalauan yang memuncak. Diriku kaku, badanku semakin kesejukkan dengan suasana cemas yang sedang menerjah aku. 

   Ingin ditoleh ke arah kelibat yang sedang memerhatikan aku, keberanian pula tidak hadir bersahabat denganku ketika ini. Andai aku mengorak langkah seribu untuk mendapatkan rakan serumah pasti aku akan ditertawakan kemudian. Aku terus kaku dan kaget dengan kehadiran lembaga tersebut. Apakah 'dia' akan mengapa-apakan aku dipagi yang hening ini? Mungkinkah lembaga tersebut merupakan makhluk yang sering muncul di alam mimpiku saban malam?

   " Arghh...! Mana mungkin alam mimpi mampu menjadi realiti." Rengusku di dalam hati.
   " Tidak! Ini semua hanya ilusi yang sengaja aku cipta di dalam benak pemikiranku." Aku cuba menenangkan jiwaku dengan kata-kata positif.

   Lembaga bermata dua yang bercahaya dalam samar itu terus memerhatikan aku dari jauh. Aku hanya mampu melihat melalui lirik mataku. Bimbang kalau-kalau lembaga itu menyerang aku dan mengapa-apakan aku di pagi ini. Adakah aku akan mati ditangan lembaga ini tatkala diriku masih bujang dan belum merasai alam rumah tangga. Diriku semakin bingung untuk merencana tindakan yang bersesuaian pada ketika ini.

   " Allah... Allah... Allah... " Lafaz agung itu terus beralun di dalam hatiku.
   " Ya Allah! Berikan aku kekuatan untuk menghadapi makhluk ini." Doaku di dalam hati.

   Dengan sedikit kekuatan yang muncul di dalam jiwa, aku gagahkan jua diriku untuk menoleh kearah kelibat yang sedari tadi memerhatikanku tanpa aku pedulikan kegalauan yang sedang memuncak. Perlahan-lahan aku melirikkan mata sambil sendi leherku menjalankan kerjanya untuk menghadapkan wajah serta mataku ke arah kelibat yang mencurigakan itu.

   Jantungku semakin berdegup kencang. Peluh jantan mula menitik tanda diriku semakin kaget dengan tindakkan yang sedang aku lakukan. Berbagai wajah hodoh terus bermain di dalam benak pemikiranku. Susuk Vampire yang bertaring panjang dan berlumuran darah juga turut menerjah. Akhirnya aku bertentang muka dengan makhluk tersebut dalam keadaan penuh terkejut dan gementar.

   " Fuh...! " Helahan nafas lega menderu keluar dari mulutku.
   " Nino, kalau yer pun nak buat scary movie subuh-subuh ni, tak payahlah libatkan aku. Tenung aku lama-lama macam tu dalam gelap buat aku suspen je lah. Spoil  betullah kucing sekor ni." Leterku pada Nino, seekor kucing belaan kawan serumahku.

   Aku tertawa kecil tanda geli hati dengan perasaanku sendiri. Kucing oh kucing, kau betul-betul buat aku seram pagi ini. Terima kasih duhai Nino si kucing montel yang sudi merenung aku di dalam gelap subuh ini.




p/s : Cerita ini hanya rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan mana-mana kisah manusia yang hidup atau sudah meninggal dunia. 

  




© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

4 comments:

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...