02 March 2010

Hadith 2



Islam, Iman dan Ihsan

Daripada `Umar Ibn al-Khattab r.a, katanya : Pada suatu hari ketikamana kami sedang duduk bersama Rasulullah s.a.w, muncul seorang lelaki yang berpakaian serba putih, berambut terlalu hitam, tiada kesan bahawa ia seorang musafir, dan tiada siap dikalangan kami yang mengenalinya. Kemudian ia duduk disamping Rasulullah s.a.w. Ia menemukan kedua lututnya dengan kedua lutut Rasulullah s.a.w dan meletakkan kedua tapak tangannya ke atas kedua paha Rasulullah s.a.w, lalu berkata :

"Wahai Muhammad! beritahulah kepadaku tentang Islam." Rasulullah s.a.w menjawab : "Islam, iaitu hendaklah memberikan kesaksian bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah rasulullah, menunaikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan menunaikan haji ke Baitullah apabila berkeupayaan ke sana."
Orang tersebut berkata : "benar katamu."
Kata Umar r.a : "Kami merasa hairan terhadap orang itu, ia bertanya lalu ia pula yang mengiyakannya."
orang tersebut berkata lagi : "Beritahulah kepada aku tentang Iman."
Jawab Rasulullah : "Hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, hari Akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada taqdir Allah yang baik dan yang buruk."
Kata orang tersebut : "Benar katamu. Beritahukan pula kepadaku tentang Ihsan."
Jawab Rasulullah s.a.w : "Hendaklah engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Sekiranya engkau tidak dapat melihatNya sesungguhnya Allah sentiasa dapat melihat engkau."
Orang tersebut berkata lagi : "Beritahukan kepadaku tentang hari Kiamat."
Jawab Rasulullah s.a.w : "Orang yang ditanya tidak lebih mengetahui daripada orang yang bertanya."
Kata orang tersebut : "Beritahukan padaku tentang tanda-tandanya?"
Jawab Rasulullah s.a.w : "Apabila hamba perempuan melahirkan tuannya sendiri, apabila engkau melihat orang yang berkaki ayam , tirak berpakaian, miskin dan pengembala kambing berlumba-lumba membina bangunan tinggi-tinggi."
Kemudian orang itu pun beredar dan aku menunggu agak lama. Kemudian Rasulullah bertanya : "Wahai Umar, tahukah anda siapa orang yang menyoal aku itu?"
Jawab Umar r.a : "Allah dan RasulNya jua yang lebih mengetahui."
Sabda Rasulullah : "Itulah Jibril a.s, ia datang untuk mengajarkan agama kepada kamu."
(Riwayat Muslim)


Intipati Hadith:

1- Galakan bertanya untuk memperoleh ilmu. Bertanya adalah sebahagian daripada ilmu kerana ia adalah sebab untuk tahu. Malah digalakkan menghadiri majlis ilmu dengan penampilan kemas dan bersih.

2- Mengemukakan soalan tentang ilmu yang bermanfaat dan meninggalkan yang tidak berfaedah.

3- Sewajarnya seseorang yang hadir ke majlis ilmu apabila ia mendapati para hadirin perlu mengetahui tentang suatu perkara, sedangkan tiada orang lain yang bertanya mengenainya, maka ia hendaklah mengajukan soalan sekalipun ia telah mengetahuinya. Ini supaya para hadirin dapat mengambil manfaat.

4- Orang yang bertanya hendaklah iltizam dengan adab yang baik. Orang yang menjawab wajar menajwab lebih daripada soalan yang diminta. Malah orang yang mengajar wajar dikhususkan tempat yang istimewa untuknya.

5- Penyerupaan diri Jibril adalah antara jenis wahyu, selainnya ialah mimpi yang benar, diselubungi rasa cemas, melihat rupa kejadian malaikat yang sebenar serta malaikat berkata-kata di sebalik hijab.

6- Islam adalah amalan zahir merangkumi pertuturan lisan dan perbuatan anggota. Iman pula adalah amalan batin merangkumi aqidah dan amalan hati

7- Galakan merendah diri dan mendekatkan diri kepada pengajar.

8- Wajib beriman dengan malaikat, para rasul, kitab-kitab samawi dan hari akhirat.

9- Wajib bermuraqabah (berwaspada) terhadap Allah. Ini kerana Allah s.w.t Maha mengetahui dan Maha memerhati.

10- Allah s.w.t mengkhususkan pengetahuan waktu berlaku berlaku hari kiamat kepadaNya. Malaikat yang hampir kepadaNya dan nabi yang diutuskan-Nya juga tidak tahu.

11- Antara tanda-tanda hari Kiamat ialah :

A- Penderhakaan kepada ibubapa berleluasa. Anak-anak berinteraksi dengan ibubapa
seperti tuan dengan hamba.
B- Golongan bawahan menjadi pemimpin dan harta mereka berkembang banyak. Lalu
mereka mendirikan bangunan yang tinggi-tinggi kerana ingin menonjolkan kemegahan.

12- Antara perkara lain yang berlaku menjelang kiamat ialah berleluasa kerosakan Akhlak. Selain itu, kemegahan dan pembaziran menjadi-jadi serta harta-benda bertambah banyak. Urusan manusia pula dipimpin oleh orang yang sebelumnya fakir dan papa. Yang mana hidup mereka bergantung dengan ihsan orang lain.

13- Seorang yang tidak mengetahui tentang sesuatu perkara apabila disoal, ia hendaklah menjawabb : "Allah lebih mengetahui (Allahu a`alam)." Ini menunjukkan sikap wara` dan cerminan agama.

14- Rangkuman Iman, Islam dan Ihsan ini disebut sebagai agama.




0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...