06 March 2012

Keharusan Berpoligami

   Di antara persoalan yang menimbulkan masalah paling kontroversi dalam urusan perkahwinan umat Islam ialah keharusan berpoligami. Ia dijadikan bahan oleh setengah golongan untuk mengecam Islam dan ramai wanita yang tidak puas hati dengan pelaksanaannya.

  Bagi menghuraikan masalah ini, terlebih dahulu mestilah difahami apakah yang dimaksudkan dengan keharusan itu. Dari segi perundangan, harus bererti sesuatu yang tidak diseksa dan tidak diberi pahala kepada orang yang melakukannya. Ertinya, ia tidak mempunyai obligasi dari segi hukum. Tetapi, keharusan berpoligami ini dari segi pelaksanaannya bukan sahaja tunduk kepada hukum ini. Ia juga tertakluk kepada prinsip pembentukan keluarga yang telah diterangkan sebelum ini iaitu perasaan tanggungjawab dan perasaan-perasaan lain yang dituntut oleh Islam. Sungguhpun dari segi perundangan, poligami boleh dilaksanakan tetapi bukan tanpa mempunyai pertimbangan lain yang dikehendaki agama. Pertimbangan ini termasuklah apa yang dikatakan oleh ahli-ahli tasawwuf bahawa tidak dinamakan seseorang itu bertaqwa sehingga ia meninggalkan yang harus untuk menjaga dirinya dari melakukan yang haram.
   Dengan sebab itu, jika sesuatu yang harus itu boleh mendorong kepada melakukan yang haram, maka seseorang yang bertaqwa akan meninggalkan yang harus itu untuk menjaga dirinya dari melakukan yang haram.

   Dalam masalah poligami, seseorang itu hendaklah menjauhi sekiranya berkahwin lebih daripada satu menyebabkan ia mencuaikan hak-hak isteri dan anak-anak yang diwajibkan ke atasnya, seperti memberi nafkah dan lain-lain. Walaupun hukum mengharuskan, tetapi ia terus menanggung dosa kerana kecuaiannya menjalankan kewajipan terhadap anak-anak dan isteri-isteri. Jika perkara ini menjadi penyakit masyarakat yang menular, pemerintah boleh mengenakan peraturan-peraturan untuk mencegah kerosakan yang timbul daripadanya.

   Penggunaan maksud keharusan berpoligami secara wajar dapat dilihat daripada contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dan masyarakat Islam pertama yang dibentuk oleh baginda. Dengan penggunaan yang wajar ini, poligami bukan menjadi masalah kepada masyarakat, tetapi merupakan cara bagi menyelesaikan masalah-masalah yang wujud dalam masyarakat iaitu pembelaan terhadap anak-anak yatim dan janda-janda yang menderita kerana kehilangan atau kematian suami.

   Pada masa sekarang masalah seperti di atas masih lagi wujud dan tetap akan wujud selagi adanya manusia. Kerana itu poligami tetap berfungsi memberi kebaikan kepada masyarakat jika keharusan ini tidak disalahgunakan. Tetapi sekiranya poligami disalahgunakan dan dilakukan semata-mata untuk memuaskan nafsu dan menempah dosa, ia akan menjadi masalah dan langkah-langkah mengawalnya hendaklah dilakukan oleh pemerintah dengan mengenakan peraturan-peraturan tertentu untuk mengelakkan kerosakan. 

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...