06 March 2012

Peraturan Mencari Jodoh


   Sebelum sesebuah keluarga dibentuk, Islam telah menetapkan terlebih dahulu pertimbangan dalam mencari pasangan dengan tujuan menjamin kesejahteraan. Rasulullah S.A.W. melarang kecantikan dan kekayaan menjadi ukuran penting di dalam memilih isteri, tetapi hendaklah memilih yang berpegang kepada agama. Sabda baginda yang bermaksud:

  "Janganlah mengahwini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengahwini mereka kerana harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kahwinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik. (Diriwayatkan oleh Ibn Majah).

   Begitu juga bagi seorang wanita, janganlah menjadikan pangkat dan harta sebagai pertimbangan asasi di dalam memilih suami, kerana pangkat dan harta tanpa akhlak dan agama menjadi punca fitnah yang akan merosakkan kehidupan rumahtangga.

Keturunan Dan Kufu

   Salah satu asas pertimbangan, selain daripada keagamaan seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, ialah keturunan bakal isteri itu. Aspek yang penting yang hendak ditinjau ialah dari segi kesihatan dan keadaan hidup keluarga. Dari segi kesihatan, perlu dikaji sama ada bakal isteri dan suami mempunyai keluarga yang mempunyai penyakit keturunan. Ini tidak bermakna wanita yang mempunyai keluarga yang berpenyakit tidak boleh dikahwini dan dipandang hina. Bahkan apa yang dimaksudkan di sini ialah ketelitian di dalam membentuk keluarga yang mahu mencapai peringkat yang ideal.

   Demikian juga perlu ditinjau aspek keadaan hidup keluarga bakal isteri, sama ada berpegang teguh kepada agama dan akhlak atau tidak. Keadaan dan suasana rumahtangga ibu bapa, sudah tentu mempengaruhi kehidupan anaknya. Sekiranya bakal suami isteri itu daripada keluarga yang tidak menghormati agama dan akhlak, sudah tentu sukar untuk membentuk suasana yang sesuai dengan kehendak Islam dalam keluarga tersebut.

   Satu masalah lagi yang menjadi tanda tanya ialah perkahwinan sekufu atau setaraf. Adakah Islam mengakui suami isteri itu bertaraf-taraf. Jawapannya ya. Taraf ini diukur dari darjat kehidupan. Tentulah tidak sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu, orang yang suka berpoya-poya dan berbuat maksiat dengan orang yang warak. Dari aspek inilah Islam melihat adanya perbezaan hidup manusia. Walaupun begitu dari segi nilai kemanusiaan, manusia itu sama. Manusia yang jahat pun, dari sudut perikemanusiaan, perlu diberi pertolongan dan dihormati sebagai manusia. Dari semua perbezaan hidup dan nilai-nilai hidup manusia, tidak ada yang lebih mulia daripada insan yang bertakwa. Inilah sebenarnya yang dimaksudkan apabila Islam mengakui darjat-darjat hidup manusia. 

   Perkahwinan kufu ialah perkahwinan di antara suami dan isteri yang mempunyai persamaan dari segi keadaan hidup. Memang ada aliran hukum di dalam perundangan Islam yang tidak melihat perkara ini sebagai penting. Mereka memandang tidak penting yang kaya berkahwin dengan yang miskin, yang berpangkat berkahwin dengan yang tidak berpangkat. Aliran ini melihat dari aspek kemanusiaan semata-mata, yakni Allah S.W.T. menjadikan manusia sama sahaja. Tetapi satu aliran hukum lagi dalam perundangan Islam iaitu aliran al-Syafiyyah, memandang perbezaan taraf hidup sama ada dari segi kekayaan, ilmu, akhlak dan lain-lain mempunyai pengaruh dalam menentukan kehidupan rumahtangga, kerana realiti kehidupan seperti ini tidak boleh diperkecilkan. Seorang perempuan kaya yang sudah biasa dengan kehidupan mewah, sudah tentu menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru yang disediakan oleh suaminya yang miskin. Kesukaran ini boleh menimbulkan masalah yang rumit. Demikian juga seorang suami yang warak berkahwin dengan isteri yang suka berpoya-poya, sudah tentu akan menimbulkan masalah yang melibatkan hubungan suami isteri itu. Inilah realiti kehidupan alam perkahwinan yang perlu mendapat perhatian perundangan dan dari sini lah timbulnya masalah kahwin sekufu.

   Aliran perundangan al-Syafiyyah, memberi hak kepada wali untuk melarang anak perempuan berkahwin dengan orang yang tidak sekufu dengannya untuk mengelak daripada masalah ini dan untuk kepentingan hidup anaknya. Demikian juga aliran ini memberi hak kepada anak perempuan membantah wali mengahwinkan dirinya dengan orang yang tidak sekufu dengannya, demi untuk menjaga kepentingan diri dan kehidupannya di masa hadapan. 

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...