21 March 2012

Raja Dan Seorang Pemikir





   Di sebuah negara yang penuh kemakmuran, terdapat seorang raja yang sering membuat keputusan tergesa-gesa dan membuta tuli. Tindakannya sering saja tersalah dan mengakibatkan pelbagai kerugian terhadap rakyat jelata. Pada suatu hari, raja itu bermimpi. Dalam mimpinya dia melihat ada timbunan harta yang berupa emas di dalam sebuah rumah. Raja mengenali tuan rumah tersebut. Tuan rumah di dalam mimpi raja itu merupakan seorang pemikir yang sangat masyhur di negara tersebut. Pemikir itu bernama Abu Nawas. Seusai terjaga dari mimpinya, raja mengerahkan askar-askar kerajaan untuk menggali rumah Abu Nawas dek termakan dengan tipu helah mimpinya yang mengatakan ada timbunan emas di bawah rumah Abu Nawas.

   Setibanya askar di rumah Abu Nawas mereka terus memberikan surat titah diraja kepada Abu Nawas. Surat  tersebut dibaca dan isinya berbunyi, " Beta titahkan supaya rumah kamu digali kerana beta bermimpi dibawah rumah kamu terdapat timbunan harta yang berupa emas." Dengan berat hati dan berang Abu Nawas membenarkan askar-askar diraja menggali rumahnya. Habis segala perabut dan harta bendanya musnah dek tindakan membuta tuli rajanya sendiri. Akhirnya tiada satu pun harta yang dijumpai oleh askar-askar diraja dan mereka pulang dengan perasaan hampa.
   Abu Nawas duduk dalam keadaan berang. Mukanya merah menyala dek menahan marah yang amat sangat terhadap keputusan raja menggali dan memusnahkan rumahnya. Sambil termenung, Abu Nawas mula memikirkan untuk membalas dendam terhadap raja. Abu Nawas bangkit sambil menganggukkan kepalanya tanda dia telah peroleh rencana untuk mengenakan raja demi membalas kembali perbuatan raja yang dianggap telah menzaliminya.

   Kesokan harinya, Abu Nawas pergi menghadap raja. Raja pun bertanya akan hal kedatangannya ke istana. Kata Abu Nawas, " Ampun tuanku. Semalam di rumah patik ada satu makhluk Allah yang mencerobohi rumah patik. Makhluk itu harus dihukum. Sekiranya tidak dihukum maka tuanku akan dianggap raja yang tidak adil. Jadi patik memohon kebenaran tuanku untuk menghukumnya sendiri." 
Bertanyalah raja kepada Abu Nawas, " Dimanakah gerangan makhluk tersebut wahai Abu Nawas?". Lalu Abu Nawas menunjukkan kantung di tangannya. " Makhluk itu ada di dalam kantung ini wahai tuanku. Izinkan patik menghukumnya." Pinta Abu Nawas kepada raja.

   Raja menjadi buntu dan keliru dengan tindakan serta permintaan Abu Nawas. Setelah berbincang dengan penasihat-penasihatnya maka raja membenarkan Abu Nawas menghukum makhluk tersebut. Abu Nawas dengan senang hati membuka kantung tersebut maka keluarlah seekor lalat dan berterbangan di dalam ruang istana. Dengan pantas Abu Nawas mencapai kayu belatinya dan menghayun-hayun belatinya lagak sedang memukul orang. Akhirnya, pelbagai barang di dalam istana dek pukulan merewang Abu Nawas. Setelah puas menghancurkan barang-barang di dalam istana berlalu pergilah Abu Nawas dengan senang hati. 

   Melihat kemusnahan di dalam istana, raja mula menyesali perbuatannya kerana memusnahkan harta benda Abu Nawas. Sejak peristiwa itu, raja tidak lagi membuat tindakan membuta tuli dan sering berhati-hati dengan segala arahannya. Begitulah  kisahnya raja dan seorang pemikir. Bagi kita semua jangan sesekali mengambil tindakan terburu-buru dalam apa jua situasi, takutnya kita di balas sebagaimana raja tersebut.. Diharap Semua terhibur dengan coretan ini. Sekian..

© 1987, Huzaifah Basit@DamascusMostWanted

2 comments:

  1. seronok baca kisah ni dan dpt pengisian di pagi hari..byk pengajaran yg blh diambil..t.ksh kerana b'kongsi:)

    ReplyDelete
  2. sama-sama.. syukran sebab sudi baca ..:)

    ReplyDelete

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...