Daripada Abu `Abdul Rahman, `Abdullah bin Mas`ud r.a katanya Rasulullah s.a.w. telah memberitahu kepada kami, sedangkan Baginda seorang yang benar dan diakui kebenarannya, sabdanya : " Sesungguhnya seseorang kamu dikumpulkan kejadiannya dalam perut (rahim) ibunya selama 40 hari berupa setitik mani. Kemudian menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian sketul daging selama itu juga. Kemudian diutuskan kepadanya Malaikat, lalu ditiupkan roh kepadanya dan diperintahkan menulis empat perkara : Rezekinya, Ajalnya, Amalannya dan Celaka atau Bahagianya. Demi Allah tiada Tuhan selain daripadaNya, sesungguhnya seseorang kamu itu tetap akan beramal dengan amalan ahli syurga sehinggalah di antaranya dengan syurga itu jaraknya cuma sehasta sahaja. Tetapi ia telah didahului oleh catatan ketetapan (suratan takdir) sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, maka masuklah ia ke dalam neraka. Juga seseorang kamu tetap akan beramal dengan amalan ahli neraka sehinggalah di antara dirinya dengan neraka cuma sehasta sahaja. Tetapi ia telah didahului oleh catatan ketetapan sehingga dia beramal dengan amalan ahli syurga akhirnya masuklah ia ke dalam syurga."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Intipati Hadith
1- Nabi s.a.w menyebut peringkat kejadian janin di dalam perut seseorang ibu yang melalui tiga peringkat. 40 hari pertama berupa setitis air mani. 40 hari kedua menjadi segumpal darah. 40 hari ketiga menjadi seketul daging.
2- Roh ditiupkan selepas 4 bulan. Jika janin gugur selepas 4 bulan, ia mestilah dimandikan, dikafankan, disembahyangkan dan dikuburkan dikawan perkuburan orang Islam. Haram dengan sengaja menggugurkan janin.
3- Malaikat ditugaskan meniup roh kepada janin.
4- Wajib beriman dengan qdha` dan qadar Allah. Ia merangkumi empat tahap :
A- Ilmu : Allah s.w.t mengetahui segala sesuatu.
B- Catatan : Allah s.w.t telah mencatat di Luh Mahfuz ketentuan segala sesuatu.
C- Kemahuan : Tiada suatu apa pun yang berlaku di langit dan bumi melainkan dengan
kemahuan Allah s.w.t
D- Penciptaan : Segala sesuatu di langit dan dibumi diciptakan Allah.
5- Gesaan memperbanyakkan amalan soleh kerana manusia tidak tahu bila ajalnya tiba.
6- Bertawakkal dan berserah kepada Allah tanpa perlu khuatir kepada kefakiran kerana rezeki telah ditetapkan.
7- Hidup manusia terbahagi kepada dua kategori, iaitu celaka atau bahagia.
8- Berwaspada daripada kesudahan yang buruk (su`ul khatimah). untuk itu wajib bagi setiap muslim membersihkan batinnya sepertimana ia bersungguh-sungguh membersihkan zahirnya.
9- Perlu berwaspada daripada maksiat dan dosa, khususnya yang tersembunyi. Perlu juga berwaspada daripada terpedaya dengan malan sendiri.
10- Syurga dan neraka adalah hampir terhadap seseorang hamba.
0 comments:
Post a Comment
Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.