08 January 2012

Memandikan Mayat

Memandikan mayat hendaklah dengan meratakan air pada seluruh badannya setelah dibersihkan najis-najis yang ada pada badan mayat itu. jika mayat itu kanak-kanak lelaki yang belum berkhatan hendaklah ditayamumkan kerana menggantikan tempat yang dibawah kulupnya.

Kaifiat memandikan jenazah :

1- Hendaklah dimandikan mayat itu didalam bilik yang tertutup. Tidak dibenarkan masuk melainkan orang yang memandikan, penolongnya dan waris-warisnya yang terdekat sahaja.

2- Hendaklah disalinkan mayat itu dengan kain yang nipis untuk menutup badannya waktu dimandikan dan diletakkan mayat itu atas pentas (tempat) yang tinggi seperti meja supaya tidak terkena percikan air. Air mandi yang digunakan biarlah air tawar atau masin dan sejuk supaya menahan daripada segera berbau kecuali jika keadaan terlalu sejuk bolehlah dicampur dengan air suam.

3- Hendaklah memulakan mandian dengan menjiruskan air dari kepala hingga ke kaki mayat, dengan berniat :

نَوَيْتُ الغُسْلَ لِهَذَا المَيِّتِ لِلهِ تَعَالىَ


Yang bermaksud, "Sahaja aku memandikan mayat ini kerana Allah Ta`ala"

Sambil membaca :

غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ المَصِيْرُ


Yang bermaksud : "(Kami mengharapkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami dan kepada-Mu lah kami kembali"

Niat ini hanya sunat sahaja, manakala memandikannya adalah wajib. Hal ini kerana tujuannya ialah نظافة iaitu membersihkan mayat daripada najis. Jadi, gunakanlah sabun atau sebagainya, supaya mudah keluar segala kotoran yang ada pada badan mayat itu.

4- Orang yang memandikan mayat itu hendaklah mendudukkan dan menyandarkan mayat itu pada lutunya serta mengampu kepala mayat dengan tangan kanan supaya tidak terkulai, sambil tangan kirinya mengurut-urut perut mayat supaya najis yang ada didalam perutnya itu keluar. Semua itu dilakukan dengan lemah lembut dan perlahan-lahan. Ketika itu disiramkan dan perasapan dinyalakan, kemenyan, gaharu dan sebagainya dibakar, supaya hilang bau-bau yang tidak disukai pada mayat itu.

5- Kemudian baringkan mayat itu terlentang dan diistinjakkan, basuh qubul dan duburnya dengan tangan kiri yang disampul dengan sepotong kain bersih. Buatlah begitu sehingga bersih. Selepas istinjak orang yang memandikan mayat itu hendaklah membasuh tangannya dengan sabun atau sebagainya.

6- Kemudian bersihkan gigi, mata, telinga dan lubang hidung mayat dengan jari tangan kanan yang bersampul dengan kain dan hendaklah membersihkan kotoran dibawah kukunya jika ada. Kemudian ambilkan wudhuknya dengan niat :

نَوَيْتُ الوُضُوءَ لِهَذَا المَيِّتِ لِلهِ تَعَالىَ


Yang bermaksud, "Sahaja aku mengambil wudhuk mayat ini kerana Allah Ta`ala".

Hukum berniat mengambil wudhuk mayat adalah wajib, manakala mengambil wudhuknya adalah sunat sahaja.

7- Setelah itu hendaklah dibasuh kepala dan janggutnya dengan sabun atau seumpamanya, kemudian sikatkan rambutnya dengan sikat yang jarang giginya perlahan-lahan dan mana-mana rambut yang gugur hendaklah dimasukkan kedalam kapannya dan dikebumikan bersama-sama.

8- Hendaklah dimandikan terlebih dahulu sebelah kanan mayat di bahagian hadapan, bermula dari tengkuk hinggan ke hujung kaki, kemudian dimandikan sebelah kirinya pula. Selepas itu erengkan pula ke kanan dan mandikan sebelah kiri bahagian belakangnya. Kesemua yang tersebut itu dibasuh dengan air sabun atau sebagainya. Kemudian dijiruskan pula dengan air yang dicampur kapur barus dari kepala hingga ke kaki, serta diratakan ke seluruh badannya. Demikianlah dibuat tiga kali berturut-turut.

9- Yang memandikan mayat itu hendaklah orang yang mukallaf. Jika mayat itu lelaki dimandikan oleh orang lelaki dan jika mayat itu perempuan dimandikan oleh orang perempuan. Sekiranya mayat itu seorang perempuan dan tidak ada seorang perempuan pun yang akan memandikannya, yanga ada semuanya orang lelaki serta bukan mahramnya atau sebaliknya mayat seorang lelaki dan tidak ada seorang pun orang lelaki, semuanya orang perempuan belaka dan bukan mahramnya, maka wajiblah ditayamumkan sahaja mayat itu untuk disembahyangkan. Di samping itu jika mayat tersebut mayat kanak-kanak lelaki atau perempuan yang belum sampai had keinginan (syahwat) haruslah dimandikan oleh orang lelaki atau perempuan.

10- Jika keluar najis slepas daripada mayat dimandikan maka wajib dibersihkan najis itu sahaja tanpa perlu dimandikan semula dan wudhuknya juga tidak batal.

11- Setelah selesai dimandikan, mayat itu hendaklah dilembut-lembutkan sendinya sebagaimana yang dilakukan semasa mula keluar rohnya. Kemudian barulah dikeringkan badannya dengan kain yang bersih dan di angkat ke tempat yang kering untuk dikafankan.

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...