14 January 2012

Riwayat Ringkas Imam-Imam Hadith Yang Termasyhur



1. Imam Bukhari (194-256 H)

   Imam bukhari ialah : Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. beliau mulai belajar sejak umur 11 tahun di Bukara. Kemudian datang mengerjakan haji ke Mekah lalu belajar ilmu hadith dari para ulama di Mekah, kemudian di Madinah, Iraw dan kota-kota besar seluruh negara Islam dalam masa 6 tahun lamanya. Menurut riwayat, beliau pernah pernah belajar daripada seribu orang guru untuk mendengarkan hadith hingga terkenal sebagai seorang imam yang telah menghafaz berpuluh ribu hadith dengan cukup sempurna serta tahan diuji kekuatan ingatannya.

   Sewaktu beliau datang ke Baghdad maka ulama hadith yang terkemuka di kota itu telah berusaha menguji kekuatan ilmu beliau. Mereka telah kemukakan kepada beliau sebanyak seratus hadith yang telah dicampur-adukkan dan dikacau-bilaukan sanad dan matan (lafadz) hadith, kemudian diminta menerangkan dan membetulkannya. Beliau segera menyatakan hadith ini dengan menerangkan sanad bagi tiap-tiap matan menurut yang dihafadznya. Dengan ini barulah mereka tahu kebolehan beliau dan terus mengakui kelebihannya.

   Beliau mempunyai kitab sahih yang terkenal dengan nama Sahih Bukhari. Dalam kitab ini diisi dengan hadith-hadith yang sahih belaka.

   Beliau wafat pada tahun 256 Hijrah dalam usia 62 tahun dan tidak meninggalkan anak seorang jua pun.

2. Imam Muslim (204-261 H)


   Beliau adalah Abu al-Husin Muslim Ibn al-Hajjaj Ibn Muslim al-Qusyairy al-Naisaburi. Beliau seorang Imam hadith yang terkemuka sesudah Imam Bukhari.

   Beliau berguru kepada Imam Bukhari dan kitabnya yang termasyhur ialah kitab Sahih Muslim yang disusun dalam tempoh 12 tahun. Beliau wafat pada tahun 261 Hijrah dalam usia 57 tahun.

3. Imam Abu Dawud (202-275 H)

   Beliau adalah Sulaiman bin al-Asy'ab bin Ishaq al-Asadi al-Sajastani. Beliau belajar hadith dari para ulama Iraq, Khurasan,Syam, Mesir dan lain-lain. Karangan beliau yang masyhur ialah kitab al-Sunan. Mengenai kitab ini beliau berkata : " Aku tuliskan hadith Rasulullah S.A.W sebanyak 500 ribu hadith, kemudian aku pilih dan aku susun dalam kitab al-Sunan ini sebanyak 4800 hadith yang sahih sahaja atau mendekati yang sahih.

   Beliau terkenal sebagai seorang mujtahid. Diantara penetapannya ialah tiada dapat diqada'kan solat yang ditinggalkan dengan sengaja.

   Beliau wafat di Basrah pada tahun 275 Hijrah dalam usia 73 tahun.

4. Imam Tirmidzi (209-279 H)

   Beliau adalah Abu 'Isa Muhammad bin 'Isa al-Salmi al-Tirmidzi (orang Tarmidz) beliau seorang Imam ilmu hadith setelah mempelajarinya di Khurasan, Iraq dan Hijaz.

   Karangan beliau yang terkenal ialah Jami' al-Tirmidzi. Beliau pernah berkata : " Setelah aku terangkan kitab ini, aku perlihatkan kepada ulama-ulama Hijaz, Iraq dan Khurasan". Mereka semua berkata bahawa barangsiapa ada menyimpan kitab ini, seolah-olah dirumahnya ada nabi yang sedang berkata-kata. Beliau wafat pada tahun 279 Hijrah di Tirmidz dalam usia 70 tahun.

5. Imam Nasa'i (215-303 H)

   Beliau adalah Abu 'Abdul Rahman Ahmad bin Syu'aib bin 'Ali al-Nasa'i. Beliau seorang ahli hadith yang utama yang pernah mengembara dari kampungya di Khurasan ke merata-rata negara Islam dan akhirnya menetap di Mesir. Sebuah karangan beliau yang terkenal bernama al-Sunan yang dianggap sebagai kitab yang utama dalam lingkungan kitab-kitab hadith. Beliau wafat di Mekah pada tahun 303 Hijrah dalam usia 88 tahun.

6. Imam Ibn Majah (207-273 H)

   Beliau adalah Abu 'Abdullah Muhammad bin Yazid bin 'Abdullah bin Majah al-Qazwaini. Belaiu seorang Imam hadith dan penduduk Qazwin yang telah mengembara ke Basrah, Baghdad, Syam, Mesir dan Hijaz untuk mempelajari hadith. Kemudian menyusun kitabnya yang terkenal dengan nama Sunan Ibn Majah.

   Beliau wafat pada tahun 273 Hijrah dalam usia 66 tahun.


- Hadith Empat Puluh -
( Terjemahan dan Syarahnya)
oleh : Ustaz Mustafa Abdul Rahman

0 comments:

Post a Comment

Berikan komen anda dengan jelas dan beretika. Penulis tidak bertanggungjawab dengan komen yang diutarakan, ianya merupakan pendapat peribadi individu dan individu tersebut wajib bertanggungjawab keatas pandangannya di ruangan komen.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...